HELSINKI: Presiden Finland, Alexander Stubb menggesa Pemilik SpaceX, Elon Musk supaya memperluas liputan internet satelit Starlink di Ukraine agar negara itu boleh menyerang pelancar peluru berpandu balistik yang berada di dalam wilayah Russia.
Ukraine kini berdepan kekurangan kritikal sistem pertahanan udara untuk menangkis peluru berpandu balistik Moscow dan Kyiv percaya mengaktifkan Starlink di wilayah Russia akan membantu tenteranya menyasarkan pelancar yang digunakan untuk melancarkan peluru berpandu berkenaan.
Musk mengaktifkan perkhidmatan internet satelit Starlink di Ukraine tidak lama selepas pencerobohan besar-besaran Russia pada 2022.
Perkhidmatan itu kini menjadi nadi komunikasi Ukraine di medan perang dan turut digunakan untuk mengendalikan dron, namun tidak berfungsi di wilayah yang dikuasai Russia.
Serangan dron dan peluru berpandu Russia ke atas Kyiv serta timur laut Ukraine membunuh lapan orang pada Khamis, termasuk serangan yang membedil sebuah hospital bersalin dan ladang, menurut pegawai.
Polis berkata sembilan rumah, sebuah pejabat pos, gudang serta puluhan kenderaan turut rosak di Kyiv.
Dalam serangan berasingan ke atas kemudahan penyimpanan sayur-sayuran di sebuah ladang di perkampung wilayah Kharkiv, timur laut Ukraine, enam orang terbunuh manakala 12 lagi cedera, kata pihak pendakwa raya.-AGENSI











