WASHINGTON: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Khamis berkata di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa dasar Israel bukan lagi sekadar menjejaskan penyelesaian dua negara, malah kini mengancam kehidupan dan kewujudan rakyatnya.
Beliau turut mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana menafikan visa kepadanya untuk menghadiri persidangan tahunan peringkat tertinggi Perhimpunan Agung PBB sebagai tindakan menghukum.
Sebaliknya, beliau merakamkan ucapan video yang kemudian ditayangkan kepada para hadirin di New York.
“Bahaya itu kini bukan lagi terhad kepada usaha menjejaskan penyelesaian dua negara dan menghalang penubuhan negara Palestin. Ia kini mengancam kehidupan dan kewujudan rakyat Palestin di tanah air mereka,” kata Abbas.
“Apa yang berlaku di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur bukan kejadian terpencil, sebaliknya satu rancangan penjajahan berniat jahat yang bertujuan menyukarkan kehidupan rakyat Palestin di tanah air mereka dan memaksa mereka meninggalkannya,” tambahnya.
Perluasan pembinaan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki bertujuan memisahkan Tebing Barat bahagian utara daripada bahagian selatannya, mengasingkan Baitulmuqaddis Timur daripada kawasan Palestin di sekitarnya dan menghalang penubuhan negara Palestin.
“Ini memerlukan campur tangan segera dan bertanggungjawab daripada Majlis Keselamatan PBB,” katanya.
Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) memberi amaran pada Khamis bahawa Gaza kini berdepan krisis ekonomi paling buruk yang pernah direkodkan.
Serangan ketenteraan Israel yang tercetus susulan serangan Hamas pada Oktober 2023 memusnahkan sebahagian besar wilayah yang dihuni dua juta penduduk itu sebelum gencatan senjata yang tidak stabil diumumkan pada Oktober 2025.
Sementara itu, di Tebing Barat, keganasan oleh peneroka haram Yahudi berfahaman ekstremis meningkat, mendorong Britain, Perancis dan Kanada mengenakan sekatan ekonomi.
Dengan 160 negara kini mengiktiraf negara Palestin, Abbas menggesa Majlis Keselamatan PBB campur tangan dengan segera dan bertanggungjawab.
“Hari ini kita memberitahu dunia, menyelamatkan penyelesaian itu bermula dengan memelihara tanah tempat negara Palestin akan ditubuhkan dan melindungi rakyat yang tinggal di atasnya,” katanya.
Abbas berkata, rakyat Palestin sedang menuju ke arah pilihan raya perundangan pada 28 November, diikuti dengan penyempurnaan pembaharuan institusi Majlis Kebangsaan Palestin dan seterusnya pilihan raya presiden Palestin.
Dalam surat yang dihantar pada Jun 2025 kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, Abbas berjanji untuk mengadakan pilihan raya perundangan dan presiden mengikut jadual yang ditetapkan. – AFP











