SYDNEY: Australia akan menahan pelancong yang tinggal melebihi tempoh visa mereka untuk dihantar pulang sebagai langkah memberi mesej pencegahan, di bawah peraturan baharu yang bertujuan mengurangkan kadar migrasi, kata seorang menteri pada Jumaat.
Parti Buruh yang memerintah Australia menafikan bahawa pihaknya mengetatkan peraturan visa sebagai tindak balas terhadap peningkatan sokongan kepada parti berhaluan kanan One Nation. Ia merupakan antara parti paling popular di negara itu tahun ini dengan janji untuk mengurangkan migrasi secara drastik.
Berdasarkan pembaharuan yang diumumkan pada Khamis, Australia akan menghentikan kemudahan ahli keluarga mengiringi pelajar, memperkenalkan sistem undian bagi peserta program cuti sambil bekerja dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemegang visa tinggal melebihi tempoh ditetapkan.
Timbalan Menteri Luar, Matt Thistlethwaite berkata bahawa pelancong akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen bagi mengurangkan jumlah pemegang visa tinggal melebihi tempoh, yang kini meningkat kepada 77,000 orang.
Beliau menambah, mereka yang tidak mempunyai hak untuk terus berada di Australia akan berdepan tindakan dan dihantar pulang.
Sejak 2015, pusat tahanan imigresen Australia dipenuhi individu mempunyai rekod jenayah dan menunggu untuk dihantar pulang selepas perubahan dasar yang menyaksikan visa penduduk tetap dibatalkan secara mandatori bagi kesalahan jenayah tertentu. – AFP











