AS sokong Houthi? - Utusan Malaysia

AS sokong Houthi?

KUMPULAN Houthi melakukan serangan peluru berpandu balistik terhadap trak yang membawa peralatan ketenteraan dari Arab Saudi ke kem tentera Al-Wadiah di wilayah Hadhramaut, Yemen. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden, Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Houthi di Yemen bersetuju untuk tidak menyerang Washington, walaupun kumpulan itu baru-baru ini meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi.

Namun, persoalan timbul sama ada beliau menyokong Houthi apabila Washington membiarkan kumpulan itu melengkapkan pengambilalihan bandar pesisir Dhubab dan Pulau Perim di Yemen yang membahagikan Selat Bab al-Mandab kepada dua laluan perkapalan, selepas menawan pelabuhan strategik Mocha.

Tindakan tersebut memberikan kumpulan proksi dari Iran itu bertapak  secara langsung di pintu masuk salah satu laluan laut paling penting di dunia.

Malah, beliau mendedahkan kepada Fox News kelmarin bahawa Washington sentiasa berhubung dengan Houthi dan mereka bersetuju untuk tidak memerangi AS.

Kenyataan terbaharu itu dibuat selepas Arab Saudi berdepan serangan berterusan Houthi.

Ia termasuk serangan peluru berpandu yang menyasarkan ibu negara, Riyadh pada Sabtu tetapi tidak melibatkan kematian orang awam.

Houthi turut mengenakan sekatan laut terhadap Arab Saudi pada Julai di Laut Merah sebagai tindak balas terhadap apa yang mereka dakwa sebagai kepungan negara beraja itu terhadap Yemen. Namun, dakwaan itu  dinafikan Riyadh.

Sebelum ini, ketika lawatan­nya ke Ireland pada 12 September lalu, Trump berkata: “Houthi menghubungi kami dan mereka tidak mahu berperang dengan kami. Mereka tidak mahu kami menyerang mereka.

Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan beliau seperti menyokong Houthi kerana pada 10 September, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, meminta bantuan ketenteraan daripada Trump pada bagi membantu meme­rangi Houthi ketika kumpulan tersebut meningkatkan ancaman terhadap Laut Merah.

Trump dilaporkan membuat sekurang-kurangnya dua perbualan telefon dengan pe­mimpin Arab Saudi itu tetapi tidak bersetuju untuk melancarkan serangan AS terhadap Houthi.

Namun, Washington memberitahu Riyadh bahawa pihaknya akan membantu dalam perkongsian risikan dan penentuan sasaran.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serangan pantas Houthi untuk menawan kawasan luas di Yemen telah mengorbankan ratusan nyawa dan menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 110,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Perang  di Yemen bermula pada 2014 apabila Houthi menawan ibu negara Sanaa.

Arab Saudi kemudian mengetuai pakatan sejak 2015 yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa. 

Pada 2025, PBB memberi amaran bahawa 17 juta penduduk Yemen berdepan kesukaran mendapatkan makanan, manakala sejuta lagi menghadapi kebuluran teruk

Gencatan senjata rapuh dicapai pada 2022 antara pihak-pihak yang berperang tetapi runtuh pada Julai, apabila Houthi mencabar kawalan Riyadh terhadap ruang udara Yemen dengan membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di negara itu.

Serangan yang dipercayai berlaku itu tercetus ketika Houthi memperkukuh pertahanan di kawasan yang baru ditawan di sepanjang pantai Laut Merah Yemen dengan anggota kumpulan itu memberitahu AFP bahawa mereka memasang radar dan menggali terowong.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×