NEW YORK: Selepas United Kingdom (UK) dan Perancis bersetuju membantu Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS) akhirnya akan memenuhi komitmen pertahanannya dengan negara beraja itu yang kini menghadapi serangan Houthi.
Keputusan untuk membantu Arab Saudi itu diumumkan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Rabu dengan menegaskan bahawa Riyadh merupakan rakan strategik Washington dalam bidang pertahanan.
Bagaimanapun, Rubio enggan mengulas mengenai pilihan ketenteraan yang tersedia untuk Presiden AS, Donald Trump dalam membantu negara tersebut yang menghadapi serangan Houthi sejak kebelangkangan ini.
“Kami mempunyai perjanjian pertahanan yang sangat kukuh dengan Arab Saudi dan kami akan memenuhi komitmen kami di bawah perjanjian itu.
“AS mempunyai komitmen pertahanan terhadap mereka. Kami sedang memenuhi komitmen tersebut sekarang. Presiden mempunyai banyak pilihan yang tersedia,” kata Rubio kepada pemberita ketika ditanya sama ada Trump bersedia mengambil tindakan lanjut terhadap Houthi.
Rubio berkata, Washington memantau dengan rapat serangan terbaharu terhadap Arab Saudi dan menyifatkan serangan ke atas infrastruktur tenaga di rantau itu sebagai amat membimbangkan.
Beliau mengalu-alukan pembukaan semula saluran paip minyak Arab Saudi yang dihentikan sementara susulan serangan awal bulan ini, sambil berkata, infrastruktur itu penting bukan sahaja kepada ekonomi negara beraja itu tetapi juga perdagangan global.
Kenyataan itu dibuat ketika kebimbangan keselamatan meningkat di Arab Saudi susulan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron oleh Houthi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Kenyataan Rubio itu amat penting bagi Arab Saudi kerana pada 10 September, Putera Mahkota negara beraja itu, Putera Mohammed bin Salman, meminta bantuan ketenteraan daripada Trump pada bagi membantu memerangi Houthi ketika kumpulan tersebut meningkatkan ancaman terhadap Laut Merah.
Namun, Washington memberitahu Riyadh bahawa pihaknya akan membantu dalam perkongsian risikan dan penentuan sasaran.
Bagaimanapun, kelmarin, Penasihat Tentera Houthi, Abed Mohammed al-Thawr menegaskan kumpulan itu akan menyerang kepentingan AS di Asia Barat sekiranya Washington campur tangan dalam konflik di Yemen bagi membantu Arab Saudi atau cuba menguasai Selat Bab al-Mandab.
“Jika AS berani campur tangan secara ketenteraan dengan armadanya atau cuba menguasai Selat Bab al-Mandab, itu adalah garis merah.
“Jika AS mengambil risiko menyokong Arab Saudi melalui serangan udara atau bantuan udara, kami akan menganggap mana-mana kepentingan Amerika di sekeliling kami sebagai sasaran dan kami tidak akan mengecualikan apa-apa.
“Kami juga akan menutup Selat Bab al-Mandab sepenuhnya kepada kapal-kapal AS,” kata Thawr dalam temu bual eksklusif bersama AFP.
Thawr menafikan menerima arahan daripada Iran tetapi berkata, kedua-dua pihak adalah satu pakatan dan satu badan.
“Iran ialah negara yang mesra, sekutu dan saudara kepada kami, tetapi mereka tidak mengarahkan kami. Kami bebas dalam membuat keputusan dan menentukan kedaulatan kami,” katanya.
Sejak pertempuran kembali tercetus, Houthi mengisytiharkan sekatan maritim terhadap kapal-kapal Arab Saudi di Laut Merah, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara pengeksport minyak terbesar dunia itu yang sebelum ini turut terjejas akibat kawalan ketat Teheran terhadap Selat Hormuz.
Pada awal minggu ini, UK dan Perancis bersetuju untuk membantu Arab Saudi bagi menghadapi serangan dron dan peluru berpandu Houthi yang sebelum ini dilancarkan secara berterusan dari Yemen dalam konflik Asia Barat yang semakin meningkat.
Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) Voyager akan membantu mengisi bahan api jet pejuang Arab Saudi selama beberapa minggu manakala Perancis bersedia bekerjasama untuk melindungi infrastruktur tenaga negara beraja tersebut dengan mengamalkan pendekatan semata-mata untuk pertahanan.
Bantuan itu diberikan selepas Houthi melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan ibu negara, Riyadh pada pertengahan bulan ini tetapi tidak melibatkan kematian orang awam.
Perang di Yemen bermula pada 2014 apabila Houthi menawan ibu negara Sanaa.
Arab Saudi kemudian mengetuai pakatan sejak 2015 yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Gencatan senjata rapuh dicapai pada 2022 antara pihak-pihak yang berperang tetapi runtuh pada Julai, apabila Houthi mencabar kawalan Riyadh terhadap ruang udara Yemen dengan membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di negara yang bergolak itu.











