AS laku jenayah perang di Iran - PBB - Utusan Malaysia

AS laku jenayah perang di Iran – PBB

SERPIHAN bangunan dan kereta rosak akibat serangan Amerika Syarikat di Teheran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Amerika Syarikat (AS) melakukan jenayah perang terhadap orang awam di Iran yang turut berdepan pelanggaran hak asasi manusia serius oleh kerajaan mereka sendiri, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Dalam laporan terbaharu mereka yang akan dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia pada Isnin, penyiasat bebas itu menggesa 47 negara anggota majlis berkenaan supaya mendesak agar perang ditamatkan.

Ia turut menggesa pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang dibawa ke muka pengadilan dan orang awam melarikan diri ke luar negara diberikan suaka.

Bagaimanapun, Iran, Israel dan AS bukan anggota Majlis Hak Asasi Manusia.

“Susulan serangan Amerika dan Israel pada 28 Februari, misi itu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Amerika  melakukan jenayah perang dengan melancarkan serangan tanpa pandang bulu yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan orang awam atau kerosakan kepada objek awam,” kata penyiasat berkenaan.

“Ini termasuk serangan peluru berpandu Tomahawk terhadap Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh yang jelas dikenal pasti di Minab  yang mengorbankan lebih 150 orang.

“Ia  termasuk kira-kira 120 kanak-kanak lelaki dan perempuan dan satu lagi serangan udara menggunakan peluru berpandu serangan berketepatan tinggi menyebarkan awan serpihan tungsten ke atas kompleks sukan serta kawasan perumahan yang jelas dikenal pasti di Lamerd, mengorbankan 22 lelaki dan wanita awam,” menurut mereka.

Laporan itu turut menyatakan tindakan keras kerajaan Iran terhadap tunjuk perasaan dalam negara yang bermula pada akhir 2025 susulan peningkatan kos sara hidup merupakan peningkatan ketara.. dalam corak penindasan terhadap perbezaan pendapat yang telah lama diamalkan.

Ia menyatakan kerajaan di Teheran meningkatkan penggunaan undang-undang represif, kekuatan maut dan hukuman mati sebagai alat intimidasi dan kawalan.

Pasukan keselamatan negara membunuh penunjuk perasaan di kesemua 31 wilayah termasuk sekurang-kurangnya 221 kanak-kanak menurut laporan selain menyerang kemudahan penjagaan kesihatan dan menahan puluhan ribu orang, menurut laporan itu.

Penyiasat PBB menggesa Israel, AS dan Iran supaya segera menghentikan permusuhan mereka.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×