Julai catat rekod bulan terpanas di AS - Utusan Malaysia

Julai catat rekod bulan terpanas di AS

SEBAHAGIAN orang menggunakan payung akibat cuaca panas di Philadelphia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan Julai lalu sebagai bulan terpanas apabila gelombang haba yang melanda sebahagian besar negara itu mengatasi semua rekod suhu bulanan terdahulu sepanjang 132 tahun pemantauan dilakukan.

Menurut data Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), purata suhu bulan lalu adalah 1.8 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata abad ke-20 bagi wilayah AS tidak termasuk Alaska dan Hawaii.

Dapatan ini menjadikan Julai lalu sebagai bulan Julai terpanas. Ia sekali gus menjadi bulan terpanas bagi keseluruhan rekod suhu sejak 1895. Ia melangkaui rekod tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada Julai 1936 semasa fenomena kemarau ekstrem Dust Bowl dan Julai 2012.

Sepanjang Julai, AS berdepan dengan tiga fenomena kubah haba berasingan, iaitu keadaan di mana suhu tinggi terkepung di sesebuah wilayah akibat sistem tekanan udara tinggi yang bergerak perlahan.

Menurut NOAA, cuaca panas melampau menjejaskan sebahagian besar wilayah barat AS, kawasan pergunungan Rockies, wilayah Midwest Utara, pesisi­ran Teluk Mexico dan bahagian tenggara. Wyoming turut mencatatkan bulan Julai terpanas dalam sejarahnya selepas mencatatkan suhu 2.8 darjah Celsius melebihi purata.

Beberapa kawasan di AS turut diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan berskala besar yang memusnahkan kawasan hutan di Kanada dan bahagian barat laut Pasifik AS.

Pakar sains menegaskan bahawa peningkatan suhu dan kebakaran besar ini diburukkan lagi oleh krisis iklim berpunca daripada tindakan manusia, te­rutamanya pembakaran bahan api fosil.

Gas rumah hijau yang terbebas daripada pembakaran arang batu, minyak dan gas memacu peningkatan suhu global dan mencetuskan gelombang haba maut yang melanda AS serta Eropah yang kini turut merekodkan musim panas terpanas dalam sejarah.

Kebakaran hutan yang me­rebak luas sehingga memaksa ratusan ribu penduduk berpindah dan pendedahan asap beracun kepada jutaan yang lain kini menjadi ciri utama musim panas di Amerika Utara serta Eropah.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini pernah menganggap sains iklim sebagai sesuatu yang ‘merapu’ dan penipuan di samping menggesa negara lain untuk terus menggunakan bahan api fosil sehingga melon­jakkan suhu bumi ke paras tidak pernah dialami manusia sebelum ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×