LA GUAIRA: Gempa bumi dahsyat memusnahkan sebahagian besar Venezuela, usaha menyelamat negara itu kini terjejas teruk akibat kekurangan bekalan bahan api.
Keadaan itu memaksa mangsa yang terselamat dan sukarelawan menggali runtuhan bangunan dengan tangan serta alat seperti cangkul, kapak termasuk penyodok walaupun terdapat jentera berat.
Menurut laporan CNN, di bandar pesisir pantai La Guaira yang paling teruk terjejas, jengkaut dan peralatan berat lain terkandas di lokasi bencana kerana tidak mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk beroperasi. Gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 itu berlaku pada 24 Jun lalu.
Seorang pengendali jengkaut memberitahu jenteranya dibiarkan tidak digunakan semata-mata kerana ketiadaan bahan api.
Kekurangan bekalan itu menambahkan lagi cabaran yang dihadapi Venezuela, Ia merupakan sebuah negara yang memiliki rizab minyak terbukti terbesar di dunia tetapi sejak bertahun-tahun lalu berdepan krisis kekurangan bahan api berikutan kemelut ekonomi dan kemerosotan infrastruktur sektor tenaga.
Masalah kekurangan peralatan dan bahan api turut mencetuskan kemarahan orang ramai, dengan penduduk menuduh kerajaan gagal melaksanakan operasi tindak balas bencana secara berkesan.
Jurutera dan sukarelawan yang bertugas di La Guaira berkata, pasukan penyelamat sering kekurangan peralatan penting seperti gerudi, pemotong konkrit dan alat pengesan tanda-tanda kehidupan, menyebabkan operasi mencari mangsa berjalan amat perlahan.
Penganalisis politik, Carmen Beatriz Fernández berkata, operasi menyelamat itu mendedahkan kemerosotan institusi yang berlaku sejak bertahun-tahun dan mendakwa sumber kerajaan lebih diutamakan kepada perkara lain sehingga keupayaan menghadapi kecemasan diabaikan.
Krisis itu turut diburukkan lagi dengan dakwaan salah laku dalam kalangan pegawai kerajaan.
Pihak berkuasa minggu ini menahan empat anggota polis yang dituduh mencuri barang berharga yang ditemui daripada bangunan runtuh.
Kor Penyiasatan Saintifik, Jenayah dan Kriminal (CICPC) memaklumkan keempat-empat anggota itu sudah digantung tugas dan kes mereka dirujuk kepada badan kehakiman, sambil menegaskan amalan rasuah ketika negara berdepan bencana tidak akan dikompromi.
Sementara itu, keadaan kemanusiaan di negara itu terus meruncing. Walaupun sumbangan air bersih dan bekalan bantuan mula tiba, jumlahnya masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
Angka rasmi kematian kini meningkat kepada 2,295 orang tetapi agensi antarabangsa bimbang jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Sukarelawan penyelamat berkata, mereka enggan menghentikan usaha itu selepas beberapa mangsa berjaya ditemukan hidup di bawah timbunan runtuhan beberapa hari selepas gempa bumi berlaku dan menegaskan setiap lokasi pencarian yang masih belum diterokai tetap memberikan sinar harapan. – AGENSI










