Undian sekat parti pembangkang bertanding ditangguh - Utusan Malaysia

Undian sekat parti pembangkang bertanding ditangguh

DANIEL Ortega dan isterinya, Rosario Murillo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAGUA: Kerajaan Nicaragua menangguhkan sehingga September undian bagi cadangan pindaan Perlembagaan yang akan menghalang parti pembangkang daripada menyertai pilihan raya, kata pemimpin bersama negara itu, Rosario Murillo, pada Isnin.

Undian di Parlimen mengenai cadangan itu sebelum ini dijadualkan diadakan pada Ogos. Ia diadakan susulan pengumuman Presiden Daniel Ortega awal bulan ini bahawa individu dan kumpulan yang menentang kerajaan tidak lagi dibenarkan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Murillo,  jawatan­kuasa khas yang dipertanggungjawabkan merangka pindaan itu akan membentangkannya pada sidang pleno dengan matlamat mendapatkan kelulusan pada awal September.

Beliau, yang juga isteri Ortega berkata, kerajaan akan mengadakan proses rundingan terlebih dahulu sebelum pindaan itu dibentangkan untuk diluluskan.

Kelmarin, Ortega dan Murillo turut membentangkan cadangan berkenaan kepada duta asing di Nicaragua dan memaklumkan proses rundingan itu akan melibatkan pihak tentera, polis, pemimpin perniagaan, gereja dan masyarakat setempat.

Ortega, 80, dan Murillo, 75, yang merupakan pasangan suami isteri, kini menguasai hampir keseluruhan pentadbiran kerajaan Nicaragua.

Pada 2018, tindakan keras terhadap bantahan antikerajaan mengorbankan lebih 300 orang, manakala pencabulan hak asasi manusia terus meningkat sejak itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ortega dan Murillo pula menyifatkan bantahan berkenaan sebagai ‘cubaan rampasan kuasa’ yang didakwa dibiayai Amerika Syarikat (AS).

Pelbagai negara dan badan pemantau antarabangsa menolak usaha kerajaan Nicaragua untuk menghalang pihak pembangkang daripada menyertai pilihan raya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, minggu lalu berkata , Washington tidak akan berdiam diri apabila rejim diktator Murillo-Ortega terus meningkatkan penindasan di dalam negara selain mencetuskan ketidakstabilan yang mengancam keselamatan negara Amerika.

Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam penindasan sistematik pihak berkuasa Nicaragua, selain menggesa negara itu mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN