Trump henti serangan atas nasihat pegawai kanan tentera - Utusan Malaysia

Trump henti serangan atas nasihat pegawai kanan tentera

OPERASI ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dihentikan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah menghentikan sera­ngan terhadap Iran untuk malam ketiga berturut-turut selepas pegawai kanan tentera menasihati Presiden Donald Trump supaya menamatkan kempen pengeboman itu. 

Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan pilihan diplomatik dan ketenteraan dalam konflik yang kini hampir memasuki bulan kelima, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadual mengunjungi Rumah Putih pada Selasa.

Netanyahu merupakan pengkritik lantang rundingan Wa­shington dengan pemimpin Iran dan terus mendesak AS supaya meneruskan serangan terhadap Iran.

Beliau juga berdepan tekanan politik yang besar untuk membuktikan bahawa kempen ketenteraan Israel terhadap Iran dan kumpulan Hizbullah di Lubnan telah membuahkan hasil menjelang pilihan raya yang dijadual berlangsung pada Oktober.

Teheran pada Ahad berkata, ia akan menghentikan sementara apa yang disifatkannya sebagai serangan tindak balas terhadap sekutu-sekutu AS di rantau Asia Barat.

“Sepanjang dua malam yang lalu pihak Amerika telah menghentikan serangan mereka,” kata jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia.

“Memandangkan strategi kami pada asasnya adalah se­rangan balas, kami juga telah menghentikan operasi serangan balas kami,” tambahnya.

Penghentian serangan itu memberi kelegaan sementara kepada industri perkapalan di Teluk dan sektor minyak daripada ancaman serangan peluru berpandu, ketika utusan AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Trump mahu memberi ruang kepada rundingan.

Sebelum Jumaat lalu, tentera AS telah melancarkan serangan ke atas Iran selama 13 malam berturut-turut, yang merupakan peningkatan terbesar dalam perang yang kini hampir memasuki bulan kelima sejak gencatan senjata dicapai pada April. Bagaimanapun, tiada serangan pengeboman dilakukan pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Harga minyak merosot di pasaran Asia pada awal Isnin apabila pelabur menarik nafas lega secara berhati-hati susulan pertempuran dihentikan.

Kira-kira setengah jam selepas dagangan bermula, harga minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent Laut Utara susut 5.89 peratus kepada AS$91.08 (RM372) setong selepas seketika jatuh di bawah paras AS$90 (RM368). 

Menurut laporan Axios pada Ahad, Komander Markas Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Bradley Cooper memaklumkan kepada Trump, bahawa kempen ketenteraan negara itu telah mencapai had keberkesanannya.

Laporan itu menyatakan penilaian Cooper mempengaruhi keputusan Trump untuk menghentikan serangan terhadap Iran buat kali pertama dalam tempoh hampir dua minggu.

Cooper dilaporkan memberi­tahu Trump bahawa AS hampir menghabiskan senarai sasaran yang telah dikenal pasti untuk diserang di Iran dan tanpa operasi tempur berskala besar di­sambung semula, adalah tidak banyak manfaat untuk meneruskan kempen pengeboman.

Ketika ditanya dalam program Meet the Press terbitan NBC pada Ahad sama ada Trump, menolak kemungkinan melancarkan serangan tambahan terhadap Iran, Duta AS ke PBB, Mike Waltz, berkata: “Saya tidak akan berkata begitu sama sekali. Presiden masih mempertimbangkan semua pilihan yang ada.”

Dalam pada itu, laporan media AS mendakwa penghentian sementara tersebut mungkin berkait dengan tekanan terhadap stok simpanan peluru berpandu pemintas Patriot dan  sistem pertahanan lain milik Washington.

Namun, Trump menolak dakwaan berkenaan dan  menegaskan AS memiliki bekalan peluru yang lebih daripada mencukupi.

Dalam temu bual bersama The Wall Street Journal (WSJ),Trump berkata, AS mempunyai lebih banyak peluru berbanding mana-mana negara lain di dunia, malah jauh mele­bihi keperluannya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN