GAZA: Hamas pada Isnin memilih tokoh veteran, Khalil al-Hayya sebagai ketua baharu pergerakan itu, selepas berbulan-bulan beliau mengetuai rundingan tidak langsung gencatan senjata dengan Israel bagi menghentikan perang di Gaza.
Pergerakan Islam Palestin itu memilih Khalil mengatasi pemimpin lamanya, Khaled Meshaal.
Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP, Khalil dipilih dengan majoriti besar dan beliau dijangka secara rasmi memegang jawatan itu minggu depan.
“Proses pemilihan dijalankan menerusi mekanisme yang amat rumit dan sulit berikutan keadaan keselamatan yang sukar serta pembunuhan beberapa pemimpin politik dan ketenteraan oleh pihak pendudukan,” kata seorang lagi sumber Hamas.
Bekas pegawai Ikhwanul Muslimin dan antara pengasas Hamas itu dilihat sebagai pemimpin yang sederhana serta akan menggantikan bekas pemimpin, Yahya Sinwar yang terbunuh.
Bersama Khaled, Khalil terselamat daripada cubaan pembunuhan oleh Israel di Doha pada September 2025 yang mengorbankan beberapa individu, termasuk seorang anak lelakinya serta ketua kakitangannya.
Doha di Qatar berfungsi sebagai pangkalan tidak rasmi Hamas bagi membolehkan pergerakan itu mengukuhkan hubungan dengan dunia Arab dan Islam.
Dari Qatar dan Turkiye, Khalil yang bertubuh tinggi dan berjanggut akan mengetuai Hamas, termasuk di Gaza, di mana pergerakan itu masih menguasai sebahagian besar wilayah berkenaan selain memiliki pasukan keselamatan yang dianggotai ribuan pejuang.
Seorang pegawai Hamas yang rapat dengan Khalil berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan Hizbullah di Lubnan, beberapa negara Arab seperti Qatar, Mesir dan Algeria, selain Iran yang menjadi penyokong utama Hamas dari segi kewangan dan ketenteraan.
Pegawai itu turut menyifatkan Khalil sebagai seorang yang pragmatik dan konservatif.
“Beliau tidak mudah dipengaruhi emosi serta dihormati semua anggota biro politik dan juga para komander ketenteraan,” katanya.
Khalil dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai konservatif di Gaza sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Islam Gaza.
Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana di Jordan sebelum menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang Islam di Sudan.
Khalil pernah dipenjarakan di Israel selama tiga tahun pada penghujung 1990-an dan terselamat daripada dua lagi cubaan pembunuhan pada 2007 dan 2014.
Beliau yang berulang kali menegaskan kepentingan perjuangan bersenjata turut kehilangan beberapa ahli keluarga dalam operasi ketenteraan Israel, termasuk serangan ke atas kediamannya di utara Gaza pada 2007 yang mengorbankan isteri serta tiga anaknya.
Pada 2006, Khalil mengetuai blok Parlimen Hamas selepas pergerakan itu memenangi pilihan raya. Krisis politik dan pentadbiran yang berlaku selepas itu menjadi titik permulaan perpecahan antara Hamas dengan Fatah, parti pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Pendahulunya, Yahya Sinwar, yang dituduh Israel sebagai antara dalang utama serangan 7 Oktober 2023, terbunuh dalam operasi tentera Israel di Gaza setahun kemudian.
Sejak kematiannya, Hamas diterajui sebuah majlis kepimpinan lima anggota yang diketuai pegawai kanan, Mohammed Darwish.
Seorang pegawai kanan Hamas berkata, majlis berkenaan akan dibubarkan, dengan semua anggotanya menyerahkan peletakan jawatan kepada Majlis Syura Hamas.
“Biro politik akan bermesyuarat di Istanbul dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membentuk jawatankuasa serta memulakan proses penyusunan semula struktur kepimpinan Hamas,” katanya.-AFP










