Tentera Lubnan kecam Israel 'ganggu' perjanjian - Utusan Malaysia

Tentera Lubnan kecam Israel ‘ganggu’ perjanjian

ASKAR Lubnan duduk di dalam sebuah kereta humvee semasa meronda di kampung Zawtar al-Gharbiyeh, selatan negara itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Lubnan me­ngecam tindakan ketentera­an berterusan Israel di selatan negara itu yang didakwa menghalang penempatan penuh pasukan keselamatannya seperti diperuntukkan dalam rangka kerja perjanjian yang dimeterai dengan Israel bulan lalu.

Dalam satu kenyataan, tentera Lubnan berkata, tentera Israel terus melancarkan serangan dan melakukan pelanggaran terhadap persefahaman semasa serta undang-undang antarabangsa.

Tentera Israel melakukan kemusnahan sistematik rumah penduduk, kerja-kerja meratakan kawasan dengan jentolak, pengeboman dan tembakan menggunakan senjata automatik di beberapa kawasan di selatan negara tersebut.

Menurut kenyataan itu, se­rangan berterusan berkenaan menghalang tentera Lubnan daripada melaksanakan penem­patan sepenuhnya mengikut perjanjian sedia ada, selain menghalang penduduk kembali ke kampung dan bandar ma­sing-masing.

Di bawah perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS) dan dimeterai bulan lalu, tentera Lubnan akan melucutkan senjata kumpulan Hizbullah, manakala tentera Israel akan berundur dari ‘zon perintis’ sebelum pasukan keselamatan Lubnan ditempatkan di kawasan berkenaan.

Perjanjian itu dimeterai lebih tiga bulan selepas Hizbullah melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tanda soko­ngan kepada Teheran, sekali gus mencetuskan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat Israel.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, konflik itu mengorbankan lebih 4,300 nyawa.

Tentera Lubnan turut me­nuduh tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran ke­dudukan tentera Lubnan di Kfar Tibnit, Nabatieh al-Fawqa dan Zawtar al-Gharbiya yang menjejaskan pelaksanaan tugas­nya.

Walaupun keganasan ber­kurangan sejak pemeteraian memorandum AS-Iran bulan lalu berhubung konflik serantau dan perjanjian rangka kerja Lubnan-Israel, Beirut masih me­laporkan serangan Israel secara berselang-seli.

Ia termasuk serangan artileri di bahagian selatan negara itu dan letupan yang memusnahkan bangunan di beberapa kampung.

Minggu lalu, tentera Lubnan mula ditempatkan di Zawtar al-Gharbiya, satu daripada ‘zon perintis’ di bawah perjanjian rangka kerja berkenaan, manakala penduduk tempatan sejak beberapa hari lalu mula kembali memeriksa keadaan rumah mereka di kawasan itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN