RAMALLAH: Tentera rejim Israel menahan sekurang-kurangnya 70 warga Palestin dalam siri serbuan di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu.
Seramai lapan lagi cedera dalam serangan berasingan oleh kumpulan pendatang haram Yahudi, menurut media tempatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Stesen radio rasmi Voice of Palestine melaporkan, tentera Israel menangkap lebih 40 pemuda Palestin dalam siri serbuan berterusan di pekan Tell yang terletak di barat Nablus di bahagian utara wilayah berkenaan.
Menurut penyiar itu, tentera Israel turut merampas sebuah rumah di pekan berkenaan dan menjadikannya pusat soal siasat lapangan. Rejim Zionis itu turut melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas kediaman penduduk di seluruh pekan tersebut sambil mengepung kawasan berkenaan dari pelbagai arah.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersama Menteri Pertahanan, Israel Katz mengarahkan operasi ketenteraan berskala besar di kampung-kampung Palestin di sekitar Tebing Barat.
Arahan itu dikeluarkan susulan serangan berhampiran penempatan haram Havat Gilad yang mengorbankan dua askar Israel dan mencederakan tiga yang lain.
Menurut sumber dan saksi, kumpulan peneroka haram Yahudi kemudian menyerang beberapa komuniti Palestin di wilayah Nablus, termasuk membakar rumah dan harta benda penduduk tempatan.
Tentera Israel berkata, satu pertempuran ganas tercetus antara penduduk Israel dan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu. Ia berlaku sehari selepas pertempuran di kawasan lain di wilayah itu menyebabkan enam orang terbunuh.
Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel meningkat secara mendadak sejak perang Gaza bermula berikutan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan empat penduduk terkorban pada Jumaat akibat serangan oleh peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di pekan Tell.
Sementara itu, agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan bahawa tentera Israel melancarkan serbuan meluas sebelum subuh di bandar Jenin dan beberapa pekan serta kampung berhampiran.
Pasukan tentera turut menggeledah sejumlah rumah dan menahan enam warga Palestin manakala operasi ketenteraan masih berterusan di beberapa bahagian wilayah tersebut, lapor agensi berkenaan. Dalam kejadian berasingan, tentera Israel menahan tiga lagi warga Palestin di wilayah Baitulaham.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula mengesahkan lapan warga Palestin cedera termasuk enam akibat tembakan peluru hidup dalam serangan peneroka haram Yahudi di kampung Farata, timur Qalqilya, barat laut Tebing Barat. – AGENSI










