BEIJING: Taufan Bavi membadai China, menjadi taufan kedua melanda negara itu dalam tempoh seminggu, dengan hampir dua juta penduduk dipindahkan dari kawasan yang berada di laluan ribut berkenaan.
Taufan Bavi, mencatat kira-kira 1,000 kilometer pada titik terluasnya, hampir menyamai keluasan Perancis mula membadai bandar pesisir Taizhou pada petang Sabtu sebelum mendarat kali kedua di Wenzhou sekitar tengah malam.
Selepas membadai gugusan pulau terpencil Jepun, taufan itu membawa hujan lebat ke Taiwan ketika bergerak melepasi bahagian utara pulau berkenaan.
Sebelum itu, tanah runtuh yang dicetuskan oleh taufan berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang di Filipina.
Walaupun kini telah lemah kepada ribut tropika kuat, Bavi masih berisiko tinggi berikutan kandungan lembapan yang sangat banyak dalam jalur hujannya.
Ribut itu dijangka terus melemah secara beransur-ansur ketika bergerak ke arah barat laut.
Menurut media kerajaan China, pusat taufan itu tiba di bandar Hangzhou di wilayah Zhejiang pada pagi Ahad.
Peramal cuaca menjangkakan Bavi akan bergerak ke timur Anhui pada Isnin sebelum menuju ke bahagian utara Laut Kuning dari Semenanjung Shandong pada Selasa.
Lebih 1.7 juta penduduk dipindahkan di Zhejiang, manakala ribuan lagi dipindahkan di wilayah berhampiran, menurut media kerajaan.
Sekolah, tempat kerja dan aktiviti luar di Zhejiang digantung, manakala kira-kira 400 penerbangan serta puluhan perkhidmatan kereta api dibatalkan.
Bandar Wenzhou yang mempunyai kira-kira 10 juta penduduk terletak berhampiran laluan taufan itu, dengan pihak berkuasa mengarahkan ratusan ribu penduduk berpindah.
“Kami boleh mendengar bunyi genting bumbung dan dahan pokok jatuh. Sudah tentu kami takut,” kata seorang penduduk, Wenzhou, Li Liangxing, kepada Reuters.
Di Beijing pula, pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 100,000 penduduk berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.
Bavi pada awalnya terbentuk sebagai taufan super yang membadai Guam dan Kepulauan Mariana Utara pada Isnin lalu dengan kelajuan angin mencecah 290 kilometer sejam.
Ketika bergerak merentasi Lautan Pasifik dan melemah kepada kelajuan angin sekitar 144 kilometer sejam, taufan itu melanda Kepulauan Sakishima di Jepun, yang terletak di antara pulau utama negara itu dan Taiwan.
Sekurang-kurangnya lima orang cedera dan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik.
Taiwan pula tidak menerima hentaman secara langsung, namun ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dan amaran tanah runtuh dikeluarkan susulan hujan lebat.
Setakat ini, Jepun dan Taiwan tidak melaporkan sebarang kematian akibat taufan berkenaan.-AGENSI










