Sorakan hinaan terhadap migran dalam perlawanan bola sepak England meningkat

Sorakan hinaan terhadap migran dalam perlawanan bola sepak England meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sorakan berunsur hinaan dan kebencian terhadap golongan migran kini semakin kerap kedengaran dalam perlawanan bola sepak di England, menurut data baharu yang dikeluarkan oleh badan pemerhati Kick It Out.

Pada musim lalu, sebanyak 39 laporan berkaitan sorakan antimigran dikemukakan kepada badan kebajikan antidiskriminasi berkenaan, mencatatkan jumlah yang lebih tinggi berbanding gabungan dua musim sebelumnya.

Frasa seperti ‘hentikan bot’ dan ‘hantar mereka pulang’ dilaporkan kedengaran di semua peringkat perlawanan sebagai sebahagian daripada trend sorakan beramai-ramai yang berunsur diskriminasi, kata Kick It Out.

Peningkatan retorik ini dilihat sejajar dengan kenaikan menyeluruh laporan diskriminasi, sama ada di stadium mahupun di platform dalam talian.

Kick It Out menerima sebanyak 1,744 laporan tingkah laku diskriminasi secara keseluruhan sepanjang musim 2025-2026, satu rekod tertinggi dan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding musim sebelumnya.

Jumlah insiden yang dilaporkan melonjak ke paras tertinggi baharu merentasi setiap kategori diskriminasi. Laporan berkaitan perkauman kekal sebagai isu paling dominan, meningkat 19 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 792 laporan menyumbang 45 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Aduan tingkah laku seksis pula meningkat 12 peratus kepada 216 kes, homofobia melonjak 46 peratus kepada 203 kes, antisemitisme naik 43 peratus kepada 93 kes, diskriminasi terhadap golongan kurang upaya meningkat 20 peratus kepada 89 kes, manakala Islamofobia melonjak 88 peratus kepada 60 kes.

Pihak Kick it Out mengesahkan kesemua enam kategori ini mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Laporan salah laku dalam bola sepak peringkat akar umbi turut meningkat bagi tahun kelima berturut-turut, iaitu naik 33 peratus pada musim 2025-2026 kepada rekod tertinggi 248 laporan.

Dalam pada itu, 98 laporan berhubung gangguan dan penghinaan terhadap pegawai perlawanan menyamai jumlah gabungan bagi tiga musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kick It Out, Samuel Okafor berkata, perbuatan sedemikian di stadium dan alam maya mencerminkan peningkatan retorik kebencian yang sedang berlaku dalam masyarakat Britain secara umumnya, namun beliau memuji keberanian penyokong serta pemain yang bersuara menentang isu tersebut.

“Angka-angka ini menunjukkan diskriminasi masih tebal dan berakar umbi dalam arena bola sepak pada ketika kita turut menyaksikan peningkatan jenayah kebencian serta retorik politik yang memecahbelahkan di Britain.

“Namun begitu, data ini juga membuktikan orang ramai kini lebih berani bangkit menentang salah laku apabila melihatnya dan amat membanggakan apabila menyaksikan para pemain profesional menunjukkan teladan yang baik pada musim lalu,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN