Rundingan tidak langsung AS-Iran selepas pengebumian Khamenei - Utusan Malaysia

Rundingan tidak langsung AS-Iran selepas pengebumian Khamenei

RUNDINGAN tidak langsung antara AS-Iran akan diadakan selepas pengebumian Ayatollah Ali Khamenei. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Perunding Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai kemajuan positif’dalam rundingan tidak langsung di Doha yang ber­akhir pada Rabu dengan pusingan rundingan seterusnya dijangka diadakan selepas upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei me­nurut jurucakap Kementerian Luar Qatar. 

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari berkata, pengantara dari Qatar dan Pakistan mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil AS dan Iran kelmarin bagi membincangkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman Islamabad.

“Pengantara Qatar dan Pakistan menamatkan pertemuan berasingan dengan perunding AS dan Iran di Doha dengan kemajuan positif dicapai berhubung isu berkaitan Memorandum Persefahaman Islamabad, berdasarkan hasil Sidang Kemuncak Tasik Lucerne, Switzerland pada 20-21 Jun.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan dalam tempoh terdekat, dengan mesyuarat seterusnya dijadualkan seawal mungkin selepas upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran,” katanya menerusi platform X.

Susulan rundingan tidak langsung itu, Presiden AS, Donald Trump bersama Qatar dan Pakistan selaku pengantara, memberi isyarat usaha diplomatik terus berjalan walaupun kedua-dua pihak saling berbalas serangan minggu ini. 

Perjanjian sementara sebelum ini dicapai bagi membolehkan Selat Hormuz dibuka semula kepada pelayaran perdagangan dan menamatkan permusuhan. Namun, beberapa isu utama masih perlu diselesaikan, termasuk program nuklear Iran.

Ayatollah Ali Khamenei  terbunuh pada usia 86 tahun di kediamannya di tengah ibu negara Teehran pada 28 Februari, hari pertama perang tercetus. Kuasa kepimpinan kemudian diserahkan kepada anaknya, Ayatollah Mojtaba Khamenei.

Upacara penghormatan terakhir akan bermula pada Sabtu di sebuah kompleks besar di tengah Teheran yang menjadi lokasi solat Jumaat, majlis rasmi dan perhimpunan keagamaan. Jenazah beliau dijadual dikebumikan pada 9 Julai di Makam Imam Reza di bandar Mashhad, timur laut Iran yang juga merupakan tempat kelahirannya.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, yang mengetuai delegasi Teheran berkata, rundi­ngan itu berakhir dengan persetujuan untuk mewujudkan saluran komunikasi bagi melaporkan dan merekodkan sebarang dakwaan pelanggaran memorandum ber­kenaan.

Iran sebelum ini menegaskan tiada rundingan secara langsung akan diadakan dengan AS di Doha atau masa terdekat.

Trump berkata kepada wartawan sebelum menaiki pesawat rasminya Air Force One pada Rabu, proses pelucutan program nuklear Iran berjalan dengan baik.

“Setakat ini, proses pelucutan nuklear Iran berjalan dengan lancar. Kami telah memberi tekanan yang sangat kuat terhadap mereka tetapi hubungan kami kini berjalan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei Gharibabadi berkata, run­dingan itu turut menyentuh me­ngenai aset Iran yang dibekukan di luar negara, yang dituntut Teheran sebagai sebahagian daripada penyelesaian menyeluruh.

Gharibabadi berkata, rundingan itu turut menyentuh isu aset Iran yang dibekukan di luar negara, yang menurut Teheran tidak perlu dibekukan sebagai sebahagian daripada sebarang penyelesaian. 

Menurut beliau, kedua-dua pihak turut meneliti penggunaan sebahagian daripada aset awal berjumlah AS$6 bilion (RM24.49 bilion), dengan persetujuan barangan yang diperlukan Iran akan dibeli dan disalurkan kepada negara itu.

Seorang diplomat berkata, Utusan Khas AS, Jared Kushner dan Steve Witkoff, tidak menyertai rundingan teknikal berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Selasa serta Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada Rabu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN