BAITUMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Selasa berkata, pesawat-pesawat perang Amerika Syarikat (AS) menggunakan pangkalan tentera negaranya ketika melancarkan serangan ke atas Iran.
Beliau turut mengulangi bahawa negaranya bersedia membalas jika menjadi sasaran serangan.
Pertempuran antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah terhenti sejak Jumaat selepas 13 malam serangan udara AS ke atas republik Islam itu, susulan kegagalan gencatan senjata yang dicapai pada April.
Israel tidak mengambil bahagian dalam pusingan terbaharu permusuhan dalam perang yang bermula pada penghujung Februari dengan gelombang serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran.
“Hakikatnya ialah, pada masa ini dan keadaan ini boleh berubah dalam tempoh sejam, Iran menembak ke semua sasaran di rantau ini kecuali satu negara, iaitu Israel,” kata Katz kepada saluran televisyen berhaluan kanan Israel, Channel 14.
“Mereka tahu bahawa pesawat-pesawat Amerika berlepas dari sini untuk melancarkan serangan,” tambahnya. – AFP










