WASHINGTON: Jualan rumah sedia ada di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan penurunan pada Jun, menurut data industri yang dikeluarkan pada Khamis, ketika kebimbangan berhubung kemampuan kewangan terus membelenggu para pembeli hartanah.
Persatuan Broker Hartanah Kebangsaan (NAR) mendedahkan bahawa jualan rumah sedia ada menyusut sebanyak 2.4 peratus berdasarkan perbandingan bulan ke bulan.
Ia adalah bersamaan dengan kira-kira 4.09 juta rumah setahun jika trend penurunan berterusan.
Kemerosotan itu berlaku seiring dengan kenaikan kadar purata pinjaman perumahan.
“Ketidaktentuan dalam aktiviti jualan rumah bulanan yang didorong oleh turun naik kecil pada kadar pinjaman, menunjukkan betapa sensitifnya pembeli rumah terhadap faktor kemampuan (mereka),” kata Ketua Ahli Ekonomi NAR, Lawrence Yun dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa median harga rumah kini mencecah tahap tertinggi dalam sejarah dan perkembangan dalam kemampuan pemilikan rumah jangka panjang boleh terjejas sekiranya pertumbuhan inventori terus tersekat.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Pantheon Macroeconomics, Samuel Tombs berpendapat pasaran jualan rumah sedia ada kekal hambar pada Jun berikutan kadar pinjaman yang tinggi.
Beliau tidak menjangkakan sebarang pemulihan segera dan memberi amaran bahawa prestasi jualan kini bukan lagi disekat secara ketara oleh kekurangan bekalan memandangkan jumlah hartanah untuk dijual menunjukkan peningkatan pada bulan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Navy Federal Credit Union, Heather Long menarik perhatian mengenai jurang dalam jualan rumah berdasarkan tahap kekayaan pengguna.
“Jualan melonjak tinggi bagi rumah yang berharga AS$1 juta (RM4.06 juta) atau lebih tetapi prestasi bagi segmen pertengahan, terutamanya rumah mampu milik adalah jauh lebih sederhana,” kata Long.
Laporan NAR turut mendedahkan median harga jualan bagi semua jenis kediaman pada Jun adalah sebanyak AS$440,600 (RM1.79 juta). Pada bulan tersebut, kadar purata pinjaman tetap 30 tahun yang popular meningkat kepada 6.49 peratus berbanding 6.44 peratus pada Mei. – AFP










