TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran pada Isnin berkata, mereka telah menyerang sasaran ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait, termasuk sebuah sistem radar amaran awal yang didakwa telah musnah sepenuhnya, menurut kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi IRNA.
“Pasukan Iran memusnahkan sepenuhnya sebuah sistem radar amaran awal AS dalam serangan dron. Dalam serangan berasingan, mereka menyasarkan sebuah gudang peralatan dan alat ganti pesawat serta hangar dron MQ-9 di Pangkalan Udara Ali Al Salem, menyebabkan beberapa dron terbakar,” kata Kor Pengawal Revolusi dalam kenyataan itu.
Ia juga menyatakan pihaknya elah menyasarkan pesawat tentera AS yang ditempatkan di Lapangan Terbang Aqaba di Jordan dan menyebabkan kerosakan teruk sebahagian daripadanya, menurut media kerajaan.
“Pesawat pengangkut berat tentera AS dan pesawat kawalan serta arahan telah disasarkan menggunakan peluru berpandu balistik, menyebabkan beberapa daripadanya mengalami kerosakan,” kata Kor Pengawal Revolusi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh penyiar rasmi Iran.
Sebelum ini, Iran melancarkan serangan pada 18 Julai di ruang udara bandar Mangaf, di selatan Bandar Raya Kuwait.
Kuwait kemudian menuduh Iran menyasarkan lokasi awam dan infrastruktur penting di negara itu.
Siren amaran serangan udara dibunyikan di Bahrain awal pagi Isnin ketika AS dan Iran saling melancarkan serangan baharu, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu.
“Kami mengesahkan siren amaran telah dibunyikan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di platform X.
“Semua rakyat dan penduduk diminta supaya bertenang serta segera menuju ke tempat perlindungan terdekat yang selamat,” tambahnya.
Kedutaan AS di ibu negara, Manama, berkata, pihaknya mempunyai maklumat yang menunjukkan Iran mungkin menyasarkan beberapa lokasi yang tidak dinyatakan di kawasan tengah Manama.
Peningkatan semula keganasan itu yang bermula pada minggu lalu itu pada awalnya tercetus susulan serangan Iran terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz yang strategik.
Iran menutup laluan utama penghantaran minyak dan gas itu sejurus perang tercetus pada 28 Februari sebelum dibuka dan ditutup manakala penguasaan terhadap selat berkenaan kini menjadi pengaruh penting dalam rundingannya dengan Washington yang turut mengenakan semula sekatan maritim ke atas pelabuhan-pelabuhan negara tersebut. – AFP/AGENSI










