TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Selasa mendakwa melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran tentera Amerika Syarikat (AS), termasuk sistem pertahanan udara di Bahrain dan Kuwait, lapor agensi berita rasmi IRNA.
IRGC mendakwa pasukannya menyerang dua sistem pertahanan udara dan sebuah pemasangan radar di dua pangkalan tentera AS yang berasingan di Bahrain, selain menyasarkan sistem pertahanan peluru berpandu, radar dan sistem penerimaan satelit di Kuwait.
“Dengan liputan radar ini, musuh perlu bersiap sedia menghadapi gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang lebih tegas serta lebih kuat,” menurut kenyataan IRGC yang disiarkan IRNA.
Pengumuman itu dibuat ketika AS memaklumkan pihaknya melancarkan serangan semalaman ke atas pusat pemerintahan tentera Iran, sistem pertahanan udara dan tapak pelancaran peluru berpandu.
Tentera Iran pula memaklumkan pihaknya menyasarkan tiga pangkalan utama tentera AS di Kuwait menggunakan dron kamikaze.
Menurut televisyen negara Iran, IRIB, sasaran serangan itu termasuk bangunan pentadbiran dan antena pencari arah di Kem Arifjan, kawasan parkir helikopter di Kem Al Udairi serta bangunan penginapan anggota tentera di Pangkalan Udara Ahmad Al Jaber.-AFP










