JAKARTA: Indonesia memulakan penghantaran pertama import minyak dari Russia di bawah pelan kerajaan untuk mengimport sejumlah 150 juta tong, menurut Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia pada Selasa.
“Kita telah melaksanakan peringkat pertama dan membuat pesanan menerusi Lemigas,” kata Bahlil selepas merasmikan Sidang Kemuncak & Pameran Ekosistem Hidrogen Global 2026 di Jakarta.
Beliau berkata, Indonesia masih bergantung kepada bekalan minyak, sekali gus menjadikan bekalan bahan api domestik yang mencukupi sebagai perkara penting.
Tambah beliau, aktiviti import akan diteruskan selagi mana ia mematuhi undang-undang tanpa mengira dari mana punca bekalan tersebut.
“Kedaulatan nasional tidak boleh diganggu gugat oleh negara lain. Kita masih memerlukan minyak,” tegas menteri berkenaan.
Di bawah arahan Presiden Prabowo Subianto dan Peraturan Presiden No. 26 Tahun 2026, Bahlil mengarahkan Lemigas untuk mengimport minyak dari Russia.
Menurut menteri itu lagi, peraturan tersebut mengawal selia perolehan minyak mentah, bahan api dan gas petroleum cecair (LPG) bagi menyokong keterjaminan tenaga nasional.
Tindakan melantik Lemigas bagi memantau import tenaga bertujuan memendekkan rantai bekalan dan membolehkan urusan perolehan dijalankan secara terus antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Pekeliling Perkara 4 dalam peraturan itu membenarkan agensi perkhidmatan awam dalam sektor tenaga membuat import di bawah perjanjian kerjasama antara kerajaan atau dengan pembekal luar negara.
Sementara itu, Perkara 5 pula membenarkan agensi perkhidmatan awam dan syarikat minyak milik negara, PERTAMINA untuk mengimport dalam situasi mendesak, biarpun terdapat perbezaan harga berdasarkan volum, jenis produk, punca bekalan dan tempoh penghantaran. – AGENSI










