India sahkan 10 anak kapal selamat, seorang masih hilang di perairan Oman

India sahkan 10 anak kapal selamat, seorang masih hilang di perairan Oman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India mengesahkan 10 daripada 11 rakyatnya yang berada di atas sebuah kapal dagang yang diserang di perairan timur Oman berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak.

Menurut kementerian itu, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan selepas kapal dagang GFS Galaxy diserang di luar pantai Oman awal Ahad.

“Daripada 11 rakyat India yang berada di atas kapal itu, 10 berjaya diselamatkan setakat ini, manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang,” menurut Kementerian Luar India dalam satu kenyataan pada Ahad.

Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan kapal itu tidak lagi dapat meneruskan pelayaran akibat kebakaran dan kerosakan pada bilik enjinnya, sambil menuduh Teheran bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pula memaklumkan anak kapal terpaksa meninggalkan kapal dan kini berada di dalam bot penyelamat, sambil menambah insiden itu berlaku kira-kira 17 kilometer di timur Oman.

Serangan itu berlaku ketika Teheran mengumumkan penutupan Selat Hormuz pada Ahad serta melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan baharu AS.

Kementerian Luar India menyifatkan serangan terhadap perkapalan komersial di rantau itu sebagai sesuatu yang ‘amat membimbangkan’.

“Penyasaran terhadap kapal dagang dan infrastruktur awam di rantau ini mesti dihentikan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menegaskan pelayaran bebas dan tanpa halangan melalui laluan perairan antarabangsa di rantau berkenaan, selaras dengan undang-undang antarabangsa, perlu dipulihkan secepat mungkin.

Ketegangan terbaharu itu mengancam memorandum persefahaman sementara yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat, yang tercetus pada 28 Februari susulan serangan AS-Israel ke atas Iran, termasuk serangan yang mengorbankan bekas pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN