PARIS: Pasukan anggota bomba di Perancis dan Sepanyol kini bertarung dengan masa bagi mengawal kebakaran hutan berskala gergasi sebelum gelombang haba baharu melanda minggu ini yang dijangka merumitkan lagi usaha memadamkan marakan api.
Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Fernando Grande-Marlaska menyifatkan hari Isnin dan Selasa sebagai fasa yang amat kritikal sebelum suhu kembali meningkat bermula Rabu.
Pegawai Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa kebakaran hutan berisiko terus berlanjutan sehingga awal November ini.
Ia sekali gus akan mencatatkan rekod terburuk saiz kemusnahan tanah akibat kebakaran dalam sejarah rantau tersebut.
Kebakaran di kawasan berbukit Ávila di barat Madrid, kini menjadi kebakaran terbesar pernah direkodkan di Sepanyol selepas memusnahkan kawasan seluas 50,000 hektar.
Pihak berkuasa juga sedang berdepan dua lagi kebakaran berasingan di barat laut Madrid. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kawasan tanah terjejas di pinggir ibu negara mencecah 70,000 hektar.
Sementara itu di Perancis, pihak berkuasa turut berdepan situasi perlumbaan menentang masa bagi mengawal kebakaran hutan sebelum kedatangan gelombang haba minggu ini, kata jurucakap perkhidmatan bomba, Eric Brocardi.
Jabatan meteorologi meramalkan suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius di beberapa bahagian negara itu bermula Selasa.
Suhu tinggi itu dijangka memburukkan lagi usaha mengawal kebakaran hutan di Gironde, barat daya Perancis.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez menyifatkannya sebagai amat dasyat dan sukar diramal serta merebak secara tidak menentu menuju ke kawasan metropolitan Bordeaux.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika melakukan lawatan ke Bordeaux berkata, minggu-minggu mendatang adalah tempoh yang amat sukar dan perlu terus bertahan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa kebakaran yang lebih kecil di kawasan berhampiran, Landes yang memaksa pemindahan lebih 30,000 penduduk berjaya dikawal. Namun, ia masih berada pada tahap berbahaya.
“Kita mesti berwaspada sepenuhnya sepanjang tempoh beberapa jam dan hari-hari yang akan datang,” tegas beliau. – AGENSI










