Gempa bumi Venezuela musnahkan 58,870 bangunan - Utusan Malaysia

Gempa bumi Venezuela musnahkan 58,870 bangunan

PANDANGAN udara menunjukkan bangunan yang musnah akibat gempa bumi berkembar di Caraballeda, Negeri La Guaira, Venezuela.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Penilaian awal data satelit agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) mendedahkan gempa bumi berkembar kuat yang melanda Venezuela minggu lalu mero­sakkan atau memusnahkan le­bih 58,000 bangunan di kawasan terjejas.

Sekitar 1,700 orang dilaporkan terkorban, manakala ribuan lagi masih hilang selepas gempa berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang dianggap paling kuat melanda negara tersebut dalam tempoh lebih satu abad.

“Kira-kira 58,870 bangunan berkemungkinan rosak atau musnah di seluruh kawasan terjejas berdasarkan data radar satelit yang dikumpul pada 25 Jun, sehari selepas gempa bumi,” menurut penyelidik, Corey Scher dan Jamon Van Den Hoek dari Universiti Negeri Ore­gon, AS.

Kedua-duanya memetik data daripada imej radar beresolusi tinggi satelit Sentinel-1 milik Agensi Angkasa Eropah.

“Ini merupakan penilaian awal dan pantas. Ia mencerminkan perubahan permukaan mendadak yang konsisten de­ngan kerosakan,” tulis penyelidik itu dan menambah angka tersebut hanya perlu dilihat sebagai petunjuk dan belum di­sahkan di lapangan.

Kelmarin, Presiden Dewan Ne­gara, Jorge Rodriguez, melaporkan 855 bangunan rosak, termasuk 189 yang runtuh sepenuhnya.

Bagaimanapun, NASA berkata, satelitnya memberikan so­kongan penting, merakam imej dan data untuk membantu pa­sukan di lapangan menilai kesan serta membimbing usaha tindak balas.

Angka kematian rasmi kini melepasi 1,700 orang dan hospital tidak lagi mampu menampung jenazah.

Sebuah kawasan pelabuhan dijadikan rumah mayat sementara dan dipenuhi beg mayat dan keranda.

Sebahagian jenazah turut di­tabur kapur bagi memperlahankan proses pereputan.

Pihak berkuasa masih belum menganggarkan jumlah mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Bagaimanapun, Pertubuhan­ Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 50,000 orang masih belum dapa­t dikesan dan memaklumkan 10,000 beg mayat dihantar bagi membantu operasi pengurusan mangsa.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN