Filipina tuduh China serang kapal dengan meriam air

Filipina tuduh China serang kapal dengan meriam air

Kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah kapal bekalan semula Filipina, Unaizah 4 Mei yang dalam perjalanan ke misi bekalan semula di Second Thomas Shoal di Laut China Selatan, 5 Mac lalu. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina menuduh Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah sebuah kapal milik kerajaan negara itu berhampiran Beting Scarborough yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, sekali gus mencetuskan konfrontasi ketiga antara kedua-dua pihak minggu ini.

Insiden itu berlaku ketika kapal berkenaan menjalankan misi menghantar bekalan kepada nelayan Filipina, serentak dengan berakhirnya forum serantau Asia Tenggara yang menghimpunkan diplomat kanan di Manila.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Beting Scarborough, walaupun tribunal antarabangsa sebelum ini memutuskan tuntutan tersebut tidak mempunyai sebarang asas undang-undang.

Pengawal Pantai Filipina berkata, kapal Pengawal Pantai China melakukan manuver secara ‘melulu’ dengan menghampiri sehingga kira-kira tujuh meter dari BRP Datu Paduhinog sebelum melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal berkenaan.

Menurut kenyataan itu, BRP Datu Paduhinog mengalami gangguan sementara terhadap sistem sambungan satelitnya akibat insiden tersebut.

Dua lagi kapal, iaitu BRP Datu Cabaylo dan BRP Cape San Agustin, turut menjadi sasaran meriam air, namun tidak terkena tembakan, menurut Pengawal Pantai Filipina.

Pengawal Pantai China pula memaklumkan pada Jumaat pihaknya melaksanakan langkah kawalan mengikut undang-undang terhadap beberapa kapal Filipina yang didakwa menjalankan aktiviti haram di perairan berhampiran Pulau Huangyan, yang menurut Beijing berada di bawah bidang kuasa China.

Awal minggu ini, kedua-dua negara turut bertembung di Beting Second Thomas apabila kerajaan Filipina mendakwa seorang anggota tenteranya dipukul di kepala menggunakan belantan oleh anggota China sehingga terpaksa dipindahkan untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, Beijing mendakwa insiden itu berpunca daripada tindakan anggota Filipina, sekali gus mencetuskan kecaman daripada beberapa sekutu Manila.

Semalam, Filipina sekali lagi menuduh Pengawal Pantai China menggunakan meriam air serta melakukan manuver berbahaya berhampiran Beting Scarborough.

Walaupun ketegangan terus memuncak, China dan Filipina minggu ini menyatakan komitmen untuk memuktamadkan Kod Tatakelakuan di Laut China Selatan menjelang akhir tahun.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN