JIKA anda teringin untuk menikmati keenakan masakan asli dari seluruh Indonesia seperti Udang Masak Rica-Rica, Bebek Betutu, Ayam Taliwang dan Gudeg tanpa perlu terbang ke negara Garuda itu, terus sahaja ke Sofitel Kuala Lumpur Damansara.
Dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati makanan-makanan asli Indonesia yang unik tetapi akan turut menikmati halwa telinga susunan-susuan lagu istimewa daripada satu-satunya deejay chef, DJ Chef Wisnu.
Hidangan istimewa DJ Chef Wisnu Lobster Kuah Lemak Minang, ciptaan eksklusif beliau yang menggabungkan kemanisan isi lobster premium dengan kuah lemak Minang yang pekat, berkrim dan kaya dengan rempah.

Berlangsung dari 17 hingga 26 Julai ini, Taste & Rhythms of Indonesia di restoran Kwee Zeen menghidangkan bufet menu-menu dari Sumatera sehingga ke Bali, Lombok dan Sulawesi.
Hidangan klasik Indonesia seperti Sup Buntut, masakan tradisional itik dari Bali, Bebek Betutu, Pesmol Kakap Putih, ikan siakap putih berempah kunyit; Cumi Saus Padang, sotong dalam sos Padang yang pedas dan berperisa.
Turut tidak dilupakan ialah Paru Balado yang cukup enak dan lembut sehingga warga emas bergigi palsu juga dapat menikmatinya dengan mudah.
Bagi penggemar Nasi Padang Kapau, pilihan lauk yang disediakan pasti memuaskan selera.
Menu Rendang Daging, Gulai Tunjang, Gulai Daun Singkong (pucuk ubi kayu), Sayur Kobis dan Kacang Panjang serta Telur Balado dihidangkan bersama nasi putih wangi.
Pengunjung juga berpeluang menikmati cita rasa tradisional dari Yogyakarta iaitu Gudeg, hidangan nangka muda yang dimasak perlahan bersama santan dan rempah diiringi Opor Ayam, Telur Pindang, serta Sambal Goreng Tempeh dan Kentang sebagai pelengkap.
Tidak hanya tertumpu dengan hidangan utama Indonesia, tetamu masih boleh menikmati bufet antarabangsa Kwee Zeen yang terkenal dengan pilihan makanan laut premium, hidangan Jepun, sajian klasik Malaysia, masakan Arab dan India, peha lembu bakar yang dibawa khas dari Australia.

Tidak lupa pelbagai hidangan pencuci mulut seperti kuih-kuih nyonya, kek durian dan ais krim.
Setiap elemen, daripada sajian hinggalah kepada muzik, disusun dengan teliti bagi membawa tetamu merasai kehangatan budaya Indonesia dalam suasana yang santai dan mengasyikkan.
Taste & Rhythms of Indonesia berlangsung di Kwee Zeen, Sofitel Kuala Lumpur Damansara dari 17 hingga 26 Julai ini untuk makan malam dan sarapan lewat pagi (brunch) hujung minggu.
Sarapan lewat pagi (Sabtu dan Ahad) ditawarkan pada harga RM138+ seorang manakala bufet makan malam hari biasa (Isnin hingga Khamis) berharga RM168+ seorang dan makan malam hari minggu (Jumaat hingga Ahad) pada harga RM228+ seorang. Kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun akan menerima diskaun 50 peratus.










