Britain umum ‘perintah berkurung’ media sosial 

Britain umum ‘perintah berkurung’ media sosial 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) memaklumkan bakal memperkenalkan sekatan penggunaan media sosial pada waktu malam untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Perkara itu diumumkan selepas Perdana Menteri Keir Starmer mengumumkan larangan bagi golongan bawah 16 tahun pada bulan lalu.

Dalam tindakan keras terbaharu bagi mengehadkan akses kanak-kanak terhadap aplikasi yang boleh menyebabkan ketagihan, pihak kerajaan menyatakan sekatan itu akan dikuatkuasakan terhadap remaja berusia 16 dan 17 tahun pada platform seperti Instagram dan Facebook, bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Kerajaan turut mengumumkan rancangan untuk menetapkan mod lalai yang akan menyahaktifkan fungsi ketagihan seperti skrol tanpa had bagi golongan remaja terbabit.

Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai pilihan untuk menutup tetapan berkenaan, menyebabkan pihak pengkritik menyifatkan langkah itu sebagai tidak berkesan. Setakat ini, kaedah penguatkuasaan bagi pelaksanaan perubahan tersebut masih belum jelas.

Bulan lalu, UK menjadi negara terbaharu yang melarang laman media sosial termasuk Snapchat, TikTok, YouTube, Instagram dan Facebook bagi golongan bawah 16 tahun yang mana perubahan itu dijadualkan berkuat kuasa pada awal tahun 2027.

“Walaupun golongan muda mula mendapat kebebasan yang lebih besar pada usia 16 tahun, mereka masih perlu dilindungi daripada ciri dalam talian yang paling ketagihan yang boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mereka.

“Langkah-langkah ini amat penting dalam membantu golongan muda mendapatkan tidur yang mencukupi, memberikan tumpuan kepada sekolah dan kolej, serta meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” kata Menteri Teknologi, Liz Kendall dalam satu kenyataan.

Langkah keselamatan itu juga merangkumi pemeriksaan terhadap penggunaan bot sembang kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan pengguna di bawah usia 18 tahun untuk mengambil masa rehat secara berkala ketika menggunakan platform berkenaan.

Di sebalik tindakan beberapa badan kebajikan kanak-kanak yang menyambut baik pembaharuan tersebut sebagai perlindungan yang sudah lama tertangguh, pihak lain pula memberi amaran bahawa langkah itu boleh menyebabkan kanak-kanak menggunakan internet dengan cara yang tidak selamat.

Pada Disember lalu, Australia menjadi negara pertama yang melarang golongan di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial, satu tindakan yang menyaksikan kejayaan yang bercampur-baur.

Kanada dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah antara negara lain yang turut mengumumkan larangan serupa, manakala Indonesia pula mula menguatkuasakan larangan tersebut bagi pengguna di bawah usia 16 tahun pada Mac lalu. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN