WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan bahawa ia akan mengenakan tarif baharu ke atas 60 rakan dagang berikutan kebimbangan mengenai amalan buruh paksa.
Ia sekali gus menggantikan tarif global yang bakal tamat tempoh dan diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump awal tahun ini.
Sebanyak 17 rakan dagang yang kini akan dikenakan tarif sebanyak 10 peratus ialah: Argentina, Bangladesh, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Malaysia, Mexico, Pakistan, Sri Lanka, United Kingdom, Trinidad dan Tobago.
Tarif tersebut, yang berkuat kuasa pada Jumaat, berkadar antara 10 peratus hingga 12.5 peratus dan melibatkan ekonomi utama seperti China, India dan Kesatuan Eropah (EU).
“Amerika telah menguatkuasakan larangan import berkaitan buruh paksa selama hampir satu abad dan melaksanakannya dengan tegas. Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama,” kata Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Beliau sebelum itu berkata, ekonomi yang disasarkan mewakili sebahagian besar perdagangan Amerika.
Pentadbiran Trump bertindak pantas membina semula dasar tarif presiden selepas Mahkamah Agung AS membatalkan beberapa tarif yang dikenakan pada Februari. Ia sekali gus menjejaskan keupayaan Trump untuk mengenakan tarif tinggi sesuka hati.
Selepas keputusan itu, Trump menggunakan peruntukan undang-undang lain bagi mengenakan semula tarif 10 peratus ke atas import.
Namun, langkah itu hanya sah selama 150 hari dan tamat tempohnya pada Jumaat.
Langkah baharu itu dirancang selepas siasatan selama beberapa bulan dan dianggap lebih kukuh dari segi undang-undang berbanding tindakan terdahulu, sekali gus lebih sukar dicabar di mahkamah.
Menurut pengumuman pada Khamis, negara dan ekonomi yang telah melaksanakan larangan import berkaitan buruh paksa atau berjanji untuk berbuat demikian akan dikenakan tarif lebih rendah iaitu 10 peratus.
Antara yang terlibat ialah Kanada, Kesatuan Eropah (EU), India dan United Kingdom.
Sebaliknya, China, Jepun, Korea Selatan dan puluhan negara lain dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus. – AFP/AGENSI










