Aplikasi cari jodoh kerajaan Tokyo hasilkan 265 perkahwinan

Aplikasi cari jodoh kerajaan Tokyo hasilkan 265 perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seramai 265 pasangan berkahwin selepas bertemu menerusi aplikasi mencari jodoh berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang dilancarkan kerajaan Tokyo pada 2024 bagi membantu menangani kadar kelahiran rendah di Jepun, menurut data rasmi.

Aplikasi Tokyo Enmusubi dilancarkan pada September 2024 selepas satu tinjauan mendapati kira-kira 70 peratus individu yang berminat untuk berkahwin tidak mengambil bahagian secara aktif dalam usaha mencari pasangan.

Bagi mengatasi keengganan itu serta memastikan hanya individu yang benar-benar serius untuk berkahwin menyertai aplikasi berkenaan, setiap pemohon diwajibkan membuktikan mereka masih bujang di sisi undang-undang dan menjalani temu duga secara dalam talian, selain memenuhi beberapa syarat lain.

Sehingga 30 Jun tahun ini, aplikasi itu mempunyai 16,000 ahli berdaftar daripada kira-kira 36,000 permohonan yang diterima, manakala 760 pasangan kini berada dalam hubungan serius, menurut data kerajaan yang dikeluarkan bulan ini.

Daripada jumlah itu, seramai 265 pasangan telah mendirikan rumah tangga.

Kerajaan turut memetik pengalaman seorang wanita menggunakan nama samaran Turtle, yang berkata, dia mencuba aplikasi tersebut sebagai peluang terakhir ketika usianya hampir mencecah 40 tahun.

“Saya menghadiri beberapa temu janji buta sebelum bertemu suami saya sekarang pada penghujung Ogos. Kami mula menjalinkan hubungan serius pada pertengahan September.

“Saya menerima lamarannya pada penghujung Disember,” katanya.

Data Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun yang dikeluarkan pada Jun menunjukkan jumlah bayi yang dilahirkan kepada warganegara Jepun merosot ke paras terendah baharu iaitu 671,236 orang pada 2025, sekali gus mencatatkan penurunan tahunan bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Dalam tempoh sama, jumlah kematian melebihi dua kali ganda angka kelahiran, iaitu sekitar 1.6 juta orang, manakala kadar kesuburan turut susut 0.01 mata kepada 1.14, walaupun jumlah perkahwinan mencatat sedikit peningkatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN