20 juta dijangka hadir pengebumian Ali Khamenei

20 juta dijangka hadir pengebumian Ali Khamenei

RAKYAT Iran meratapi kematian Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel di sebuah dataran di Teheran, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Ribuan rakyat Iran dijangka membanjiri ibu negara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi, Ali Khamenei, pada Sabtu, sempena permulaan upacara pengebumian besar-besaran yang turut dilihat sebagai demonstrasi kekuatan negara itu.

Pihak berkuasa Iran menjangkakan antara 15 hingga 20 juta orang akan berkumpul di Teheran dalam tempoh tiga hari bagi upacara penghormatan terhadap Khamenei yang memimpin negara itu selama 35 tahun.

Upacara pengebumian selama enam hari itu dianjurkan selepas kematian Khamenei pada usia 86 tahun, yang menurut laporan berlaku pada hari pertama serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari.

Acara tersebut dijangka menjadi tumpuan bagi melihat sebarang kemunculan anaknya, Mojtaba Khamenei, yang dinamakan sebagai pengganti pemimpin tertinggi seminggu selepas kematian beliau, tetapi masih belum muncul di khalayak umum.

Sejak malam Jumaat, ratusan penyokong sudah mula berkumpul di luar kompleks keagamaan Grand Mosalla sebelum ia dibuka kepada orang ramai pada pukul 6 pagi waktu tempatan.

“Kami mahu mengucapkan selamat tinggal terakhir kepada pemimpin kami, sebab itu menunggu seperti ini tidak menyakitkan atau sukar bagi kami,” kata seorang penyokong kepada AFP.

Langkah keselamatan yang ketat dilaksanakan, termasuk penutupan jalan utama dan jangkaan penutupan ruang udara, menjelang acara awam terbesar di Iran sejak pengebumian pemimpin terdahulu Ruhollah Khomeini pada 1989.

Keranda Khamenei akan disemayamkan sehingga Isnin, sebelum satu perarakan akan melalui Teheran. Pada Selasa, jenazah akan dibawa ke pusat ulama di Qom, kemudian pada Rabu ke bandar suci umat Syiah di Iraq, sebelum dikebumikan pada Khamis di bandar kelahirannya, Mashhad di timur laut Iran.

Pegawai yang terselamat daripada perang turut menunjukkan kesedihan dan mempamerkan solidariti pada Jumaat, dengan Speaker Parlimen serta ketua perunding dalam rundingan AS, Mohammad Bagher Ghalibaf, kelihatan sebak.

Antara pegawai tertinggi Iran yang hadir memberi penghormatan termasuk Ahmad Vahidi, yang dilantik mengetuai Kor Pengawal Revolusi selepas pendahulunya terbunuh dalam serangan sama yang meragut nyawa Khamenei, dan beliau sebelum ini tidak kelihatan di khalayak umum.

Hari-hari mendatang akan menjadi perhatian bagi melihat kemunculan Mojtaba Khamenei, yang hanya berkomunikasi melalui kenyataan bertulis dan dilaporkan cedera dalam serangan sama, walaupun tahap kecederaannya tidak pernah didedahkan secara jelas.

Antara ahli keluarga lain yang terkorban dalam serangan itu turut akan dikebumikan, termasuk cucu perempuan Ali Khamenei yang masih bayi.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN