Trak bantuan PBB diserang dron, 50 tan bekalan musnah - Utusan Malaysia

Trak bantuan PBB diserang dron, 50 tan bekalan musnah

Seorang pekerja duduk di atas timbunan guni bantuan makanan di sebuah hangar di Bor. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah trak yang disewa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan diserang dron, menyebabkan lebih 50 tan bekalan bantuan kemanusiaan untuk mangsa perang musnah.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, serangan itu berlaku pada Rabu di negeri Darfur Barat, menurut maklumat yang diterima daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Pemandu trak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi keseluruhan bekalan bantuan yang dibawa musnah dalam serangan itu. Bekalan yang musnah termasuk selimut, tong simpanan air, set peralatan dapur, tikar tidur, kepingan plastik dan lampu berkuasa solar,” katanya.

Menurut Dujarric, semua bekalan itu sepatutnya diagihkan kepada golongan paling terdedah yang terjejas akibat konflik bersenjata di Sudan.

“Semua bekalan itu diperuntukkan kepada mereka yang paling memerlukan di Abu Jubeyha, tetapi kini musnah sepenuhnya akibat serangan berkenaan. Ribuan penduduk yang bergantung kepada bantuan itu kini tidak lagi dapat menerima keperluan asas yang amat diperlukan itu,” tegasnya.

Sudan terus bergolak sejak April 2023 susulan perang antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Menurut PBB, lebih 12 juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu, sekali gus menjadikan krisis di Sudan antara bencana kemanusiaan paling serius di dunia ketika ini.

PBB turut melaporkan beberapa serangan dron mengenai bandar Kosti di negeri White Nile pada Rabu, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang awam cedera. 

Walaupun berdepan situasi keselamatan yang tidak menentu, agensi-agensi kemanusiaan terus berusaha menyalurkan bantuan ke kawasan yang masih boleh diakses. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN