UNSC adakan mesyuarat tergempar bincang serangan Israel di Lubnan

UNSC adakan mesyuarat tergempar bincang serangan Israel di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dijadual mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin susulan pertempuran di Lubnan selepas tentera Israel mengambil alih istana zaman pertengahan Beaufort di wilayah Lubnan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk mara lebih jauh ke dalam Lubnan dan menyifatkan operasi pada Ahad sebagai perubahan dramatik dalam kempen menentang Hizbollah.

Tentera Israel pernah menggunakan Istana Beaufort, yang juga dikenali sebagai Qalaat al-Chakif sebagai pangkalan semasa pendudukan mereka di selatan Lubnan selama dua dekad sebelum berakhir pada tahun 2000.

Bunyi bedilan kedengaran manakala asap dilihat naik dari kawasan sekitarnya ketika AFP menyaksikan bendera Israel dikibarkan di atas istana itu.

Gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran antara Israel dan Hizbollah bermula pada 17 April, namun tidak pernah benar-benar dipatuhi.

Kedua-dua pihak saban hari saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggunakan dakwaan pelanggaran pihak lawan untuk membenarkan serangan masing-masing.

Sumber diplomatik memberitahu AFP, UNSC akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin berhubung peluasan serangan Israel di negara itu.

Mesyuarat itu diminta oleh Perancis, dengan Presidennya, Emmanuel Macron berkata, tiada apa yang boleh membenarkan peningkatan serangan besar yang sedang berlaku di selatan Lubnan, sambil menggesa pertempuran dihentikan.

Lubnan terheret ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac apabila Hizbollah melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei oleh Amerika Syarikat (AS)-Israel.

Israel menyerang Lubnan sepanjang hujung minggu lalu, dengan lapan orang terbunuh dalam satu serangan di Deir Zahrani, selatan Lubnan pada Ahad termasuk tiga wanita, menurut kementerian kesihatan Lubnan.

Sementara itu, kumpulan yang disokong Iran itu berkata, mereka menyasarkan tentera Israel berhampiran kubu berkenaan selain kedudukan tentera dan infrastruktur di Shlomi serta Nahariya di utara Israel, ketika siren serangan udara berbunyi di kawasan Acre.

Delegasi tentera dari Lubnan dan Israel mengadakan rundingan keselamatan di Washington pada Jumaat lalu dan lebih banyak rundingan anjuran AS dirancang minggu depan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN