Trump tekan Iran dengan syarat lebih ketat - Utusan Malaysia

Trump tekan Iran dengan syarat lebih ketat

PERANG IRAN dengan AS bersama Israel masih belum berakhir selepas bermula pada 28 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menghantar kepada Iran satu versi semakan semula rangka kerja perdamaian yang dicadangkan dengan syarat lebih tegas.

Tindakan itu mencetuskan semula pusingan rundingan berbalas yang menurut pegawai AS boleh berlarutan sehingga seminggu selepas perang bermula sejak 28 Februari dan gencatan senjata berlaku sejak 8 April lalu. 

Trump sendiri memberitahu laman berita Fox News bahawa beliau tidak tergesa-gesa dan memberi amaran akan menamatkan konflik itu dengan cara berbeza  jika tidak mendapat apa yang dikehendakinya.

SEMAKAN

Semakan tersebut, yang dilaporkan pada Sabtu oleh akhbar The New York Times dan Axios, dibuat selepas Trump mengadakan mesyuarat selama dua jam di Bilik Situasi Rumah Putih, Washington DC yang berakhir tanpa sebarang pengumuman rasmi.

Seorang pegawai Rumah Putih berkata bahawa Trump hanya akan membuat perjanjian yang menguntungkan AS, mematuhi garis merah beliau dan memastikan Iran tidak akan memiliki senjata nuklear.

Sebelum ini, Axios melaporkan bahawa Trump telah meminta beberapa pindaan terhadap perjanjian awal yang dicapai oleh utusan beliau.

Kini, The New York Times juga melaporkan bahawa Trump telah memperketat syarat dalam rangka kerja perjanjian tersebut dan menghantar semula cadangan perubahan itu kepada Iran untuk dipertimbangkan.

Akhbar itu menyatakan bahawa pada masa ini belum jelas apakah perubahan yang telah dibuat terhadap teks perjanjian tersebut.

The New York Times melaporkan bahawa tiga pegawai yang mengetahui perkara itu berkata bahawa Trump telah meminda beberapa bahagian draf perjanjian dan menghantar semula teks yang disemak itu ke Teheran, walaupun perubahan tepatnya tidak segera didedahkan kepada umum.

IRAN NAFI

Kebimbangan utama Trump tertumpu pada peruntukan yang melibatkan pelepasan aset Iran yang dibekukan, satu pengaturan yang beliau secara konsisten kritik dalam konteks perjanjian nuklear 2015 yang dirundingkan di bawah Presiden ketika itu, Barack Obama.

Laman berita Axios memetik seorang pegawai kanan pentadbiran dan sumber kedua yang dimaklumkan mengenai perbincangan itu berkata bahawa permintaan khusus Trump tertumpu pada klausa yang mengawal program nuklear Iran.

Dalam bentuk semasa, memorandum persefahaman itu mengandungi komitmen Iran untuk tidak mengejar senjata nuklear, tetapi tidak menyertakan konsesi khusus lain. Trump mahukan lebih ketepatan, menurut laporan itu.

“Ia lebih kepada butiran khusus tentang bagaimana AS mendapatkan bahan tersebut dan masa pelaksanaannya,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran kepada Axios, merujuk kepada stok uranium diperkaya Iran.

Sumber Axios kedua berkata, Trump juga mahu perubahan pada perumusan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz.

Pegawai berkata, cadangan yang diperketatkan Trump itu juga bertujuan memberi tekanan kepada Iran supaya menerima rangka kerja yang sudah dihantar kepada Pemimpin Tertingg Iran. Ayatollah  Mojtaba Khamenei untuk kelulusan, bukannya membiarkan rundingan berlarutan. 

Namun, usaha menghubungi kepimpinan tertinggi Iran terbukti sukar dan sebarang perubahan lanjut berisiko memanjangkan proses yang sudah berlarutan selama beberapa minggu.

Tidak guna e-mel

Seorang pegawai kanan AS mengaku cabaran situasi itu dengan terus terang. 

“Mereka secara literal berada dalam ‘gua’ dan tidak menggunakan e-mel,” katanya kepada Axios, menjelaskan kelewatan tindak balas.

Namun. pegawai itu tetap yakin perjanjian akan dimuktamadkan. 

“Akan ada perjanjian. Soal bila ia berlaku, kita akan lihat. Kami sanggup menunggu supaya presiden mendapat apa yang beliau mahukan. Mungkin seminggu,” katanya.

Pegawai Iran memberitahu media kerajaan bahawa mereka belum meluluskan teks akhir.

Media negara sebelum ini melaporkan bahawa perjanjian itu hampir dimuktamadkan dan mendakwa Iran akan menerima berbilion dolar dana yang dibekukan sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, namun Rumah Putih menafikan dakwaan itu.

AKUI KESILAPAN

Dalam temu bual berasingan di Fox News, Trump merangka pendekatannya terhadap perang Iran melalui perspektif kesilapan ketenteraan AS  pada masa lalu, termasuk Iraq.

“Orang akan terkejut mendengarnya, kerana kesilapan telah berlaku dalam peperangan apabila anda memusnahkan semua orang dan kemudian anda mempunyai negara yang tidak boleh dibina semula selama 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata, AS  telah gagal besar di Iraq dan menganggapnya sebagai tindakan yang bodoh.

Trump juga mengulangi dakwaannya bahawa Teheran akan memperoleh senjata nuklear jika pengebom B-2 AS tidak menyerang kemudahan nuklear Iran pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, presiden AS itu berkata kepada program Fox News bahawa beliau telah memperoleh jaminan daripada Iran bahawa negara itu tidak akan membangunkan senjata nuklear.

Bagaimanapun, Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata pada Ahad bahawa Teheran tidak akan menerima sebarang perjanjian dengan AS yang gagal menjamin hak rakyat Iran. – AGENSI

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN