Trump dakwa Iran enggan capai perjanjian kerana berasa kuat - Utusan Malaysia

Trump dakwa Iran enggan capai perjanjian kerana berasa kuat

DONALD Trump mendakwa Iran perlu mencapai perjanjian dengan AS. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WISCONSIN: Presiden Amerika Syarikat (AS),Donald Trump berkata, para pemimpin Iran masih belum mencapai perjanjian dengan AS untuk menamatkan perang yang sedang berlangsung.

Trump berkata, ia berlaku kerana Iran berasa negara itu kuat dan berbangga diri, namun akhirnya Teheran tiada pilihan lain selain mencapai satu persetujuan.

“Mereka kuat. Mereka mempunyai maruah yang tinggi. Ada perkara yang mereka tidak pernah terfikir akan buat, tetapi terpaksa mereka lakukan nanti. 

“Mereka tiada pilihan, cuma ia akan mengambil sedikit masa,” jelas Trump dalam satu temu bual eksklusif bersama moderator program Meet the Press terbitan NBC News, Kristen Welker di Chippewa Falls, Wisconsin pada Jumaat.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika pemimpin AS dan Iran sedang giat mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik peperangan yang kini telah memasuki bulan keempat, minggu lalu.

Meskipun kedua-dua negara telah bersetuju dengan pelan gencatan senjata pada April lalu yang kemudian dilanjutkan, ketegangan kembali memuncak dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini selepas AS dan Iran saling berbalas serangan ketenteraan di kawasan berhampiran Selat Hormuz.

Rabu lalu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memaklumkan kepada  sejumlah besar wakil rakyat Dewan Perwakilan bahawa operasi ketenteraan yang dinamakan oleh pentadbiran Trump sebagai Operasi Kemarahan Epik kini telah berakhir.

Beliau menambah, siri serangan yang dilancarkan pada awal minggu itu hanya bersifat melindungi diri sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal-kapal komersial di Selat Hormuz.

“Demi melindungi pasukan keselamatan kita, kita bukan sahaja menembak jatuh dron malah kita menyerang pihak yang melancarkan dron tersebut. Tindakan ini sepenuhnya bersifat defensif, namun ia dilakukan sebagai respons terhadap provokasi Iran. 

“Jika mereka tidak menembak kapal-kapal itu, kita tidak akan menembak, tetapi kita wajib bertindak balas,” tegas Rubio di hadapan sejumlah wakil rakyat.

Dalam temu bual sama, Trump turut membidas pihak yang mendesak pentadbirannya agar segera mencapai jalan penyelesaian dengan Iran bagi menamatkan konflik itu dengan menyatakan perkara sedemikian memakan masa bertahun-tahun. 

“Golongan ini telah berperang selama 47 tahun dan mereka telah membunuh ramai rakyat AS. Malah ada (tentera) yang kudung kaki, hilang tangan dan mengalami kecederaan muka yang sangat parah serta mengerikan,” dakwa Presiden AS itu merujuk kepada barisan kepimpinan Iran. –  AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN