BANGKOK: Tiga migran dari Myanmar terbunuh manakala dua lagi cedera selepas sebuah dron yang digunakan dalam perang saudara negara itu meletup di negara jiran, Thailand, tempat mereka bekerja, kata polis Thailand pada Rabu.
Ketua Polis Tempatan, Anusorn Dungkong berkata, pihak berkuasa Thailand menerima laporan mengenai letupan di wilayah Tak, bersempadan dengan negeri Karen di Myanmar pada petang Selasa sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Tiga orang meninggal dunia, semuanya pekerja migran Myanmar, manakala dua lagi cedera,” katanya.
Menurut Anusorn, dron yang dipercayai merupakan dron serangan itu melanggar sebatang pokok di sebelah sempadan Thailand sebelum meletup, mengorbankan pekerja yang bekerja di sebuah ladang cili berhampiran.
“Dua mangsa yang cedera, yang juga warga Myanmar, dibawa ke hospital tempatan untuk menerima rawatan,” katanya.
Angkatan tentera Myanmar bertempur dengan pelbagai kumpulan gerila pro-demokrasi dan kumpulan bersenjata etnik minoriti sejak tentera merampas kuasa melalui rampasan kuasa pada 2021.
Kawasan sempadan Myanmar menempatkan pelbagai kumpulan etnik minoriti, yang kebanyakannya bertempur dengan tentera bagi mendapatkan autonomi dan menguasai sumber asli bernilai tinggi sejak negara itu merdeka daripada Britain pada 1948.
Kedua-dua pihak, iaitu tentera Myanmar dan kumpulan bersenjata etnik, diketahui menggunakan dron dalam pertempuran, namun tidak dapat dipastikan pihak mana yang melancarkan dron yang meletup di wilayah Thailand itu.
Kumpulan pemberontak Karen menguasai sebahagian besar negeri tersebut, manakala pertempuran sengit dengan tentera Myanmar pada Selasa menyebabkan ramai penduduk Myanmar melarikan diri merentasi sempadan ke Thailand, menurut laporan media tempatan.-AFP










