HOUSTON: Singapura memperoleh bekalan kargo gas asli cecair (LNG) yang mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan dari Qatar bagi baki tahun 2026.
Menurut Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Puah Kok Keong, ia sekali gus memastikan negara itu mempunyai 100 peratus bekalan gas yang diperlukan.
Beliau berkata, kargo gantian itu dibeli daripada pembekal di Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Afrika.
Dalam wawancara bersama Reuters, Puah berkata, sekiranya gangguan bekalan dari Qatar yang berpunca daripada perang AS-Israel dengan Iran berakhir dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Singapura mempunyai pilihan untuk menjual semula kargo gantian tersebut.
Menurut beliau, Qatar membekalkan kira-kira 10 peratus gas asli yang digunakan Singapura untuk penjanaan elektrik, bersamaan satu kargo sebulan.
Menurut beliau, Singapura berminat membeli lebih banyak LNG, namun akan terus mendapatkan bekalan daripada pelbagai sumber termasuk AS, Australia, Afrika dan Asia Barat bagi mengurangkan risiko pergantungan kepada satu sumber sahaja.










