JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menggugurkan ketua agensi yang bertanggungjawab mengendalikan program makanan percuma di sekolah, dasar utama pentadbiran beliau yang berdepan pelbagai kontroversi termasuk keracunan makanan besar-besaran serta dakwaan rasuah.
Program bernilai berbilion dolar itu merupakan dasar utama kempen pilihan raya Presiden Prabowo pada 2024.
Kerajaan memaklumkan program tersebut menyediakan makanan kepada lebih 61 juta rakyat menjelang Mac, namun puluhan ribu individu dilaporkan jatuh sakit sejak ia dilancarkan pada Januari tahun lalu.
“Presiden telah memutuskan untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan Agensi Pemakanan Nasional.
“Kerajaan akan terus memastikan sepanjang proses penilaian yang sedang berjalan, semua program Agensi Pemakanan Nasional diteruskan seperti sepatutnya,” kata Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi kepada pemberita di Jakarta sambil menyatakan isu kualiti makanan antara faktor yang mendorong keputusan itu.
Pengkritik sebelum ini menggesa program berkenaan digantung susulan kebimbangan berkaitan kebersihan serta dakwaan penyelewengan.
Dadan Hindayana, seorang ahli entomologi yang mengetuai agensi itu sejak penubuhannya, digantikan oleh timbalannya, Nanik Sudaryati Deyang.
Bulan lalu, badan pemantau antirasuah Indonesia Corruption Watch memfailkan aduan terhadap Dadan susulan dakwaan berlaku ketidakaturan dalam pengurusan bajet.
Dadan sebelum ini memberitahu Parlimen tahun lalu bahawa program berkenaan dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 11,000 kes keracunan makanan, dengan lebih 600 individu dimasukkan ke hospital.
Prabowo turut mengakui wujud masalah dalam pelaksanaan program itu dan berjanji akan mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia dilaporkan mengalami masalah bantut akibat kekurangan zat makanan yang serius.
Kerajaan berharap skim tersebut dapat menyediakan makanan kepada sekurang-kurangnya 82.9 juta kanak-kanak serta wanita hamil dan ibu menyusu, kira-kira satu pertiga daripada populasi negara itu.
Program berkenaan turut menjadi antara komponen pertama bajet kerajaan yang dikurangkan ketika Jakarta berusaha menangani kesan ekonomi akibat perang di Asia Barat.-AFP










