BERN: Switzerland secara rasmi menolak cadangan untuk mengehadkan jumlah populasinya kepada 10 juta orang, susulan keputusan undian genting berhubung sekatan imigrasi ke negara Eropah tersebut.
Selepas persaingan sengit, hampir 55 peratus pengundi Switzerland menolak inisiatif ‘Katakan Tidak kepada Switzerland dengan 10 juta penduduk’ yang dikemukakan oleh parti berhaluan kanan, Parti Rakyat Switzerland (SVP).
Cadangan yang ditolak itu sebelum ini menggesa langkah-langkah drastik bagi menghalang populasi negara pergunungan Alps yang kini mencecah 9.1 juta orang daripada melebihi angka 10 juta sebelum tahun 2050.
“Perlu ada hadnya,” kata seorang pesara, Gilles Hirt di sebuah pusat pengundian di Bern pada pagi Ahad, sambil membandingkan situasi semasa di Switzerland seperti sebuah kapal.
“Jika ia direka untuk 150 orang tetapi anda membawa 250 orang, ia menjadi terlalu sempit. Jika anda meletakkan 350 orang, kapal itu akan karam,” tambahnya.
Bagi sebuah negara yang menyaksikan warga asing merangkumi lebih daripada satu perempat daripada jumlah keseluruhan penduduk cadangan tersebut sepatutnya bertindak sebagai ‘brek kecemasan’ terhadap kemasukan pendatang.
SVP, yang merupakan parti terbesar di Switzerland, menegaskan bahawa tindakan drastik amat diperlukan.
Mereka menyalahkan imigrasi besar-besaran sebagai punca kepada pelbagai masalah domestik, bermula daripada isu kekurangan perumahan, kenaikan harga sewa sehinggalah kepada kesesakan kereta api dan lalu lintas.
“Switzerland adalah sebuah negara kecil yang tidak boleh diperluaskan lagi kawasannya,” ujar ahli parlimen SVP, Yvan Pahud, sebelum menambah bahawa mereka tidak mahu menerima seluruh warga Eropah.
Bagaimanapun, pihak pengkritik memberi amaran bahawa inisiatif tersebut akan mencetuskan ‘huru-hara’ jika diluluskan. Ia berisiko melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi serta menjejaskan hubungan Switzerland dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan rakan dagang utamanya. – AGENSI










