OTTAWA: Kanada menguatkuasakan sekatan import sementara terhadap semua ternakan dari Texas, Amerika Syarikat (AS) susulan penemuan wabak parasit ulat pemakan daging yang dikesan menyerang haiwan di wilayah berkenaan, minggu lalu.
Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada memperkenalkan peraturan baharu kepada pihak pengimpot haiwan ternakan demi kesihatan penduduk di negara tersebut.
Menurutnya, mana-mana ternakan termasuk lembu dan kuda yang dikesan berada di Texas dalam tempoh 21 hari sebelum memasuki sempadan Kanada, tidak akan dibenarkan merentasi negara itu berkuat kuasa serta-merta.
Langkah kecemasan tersebut diambil selepas Jabatan Pertanian AS (USDA) mengesahkan kes kedua melibatkan jangkitan larva lalat itu pada seekor lagi anak lembu di Texas yang juga merupakan wilayah pengeluar utama daging dan ternakan terbesar di AS.
Bimbang dengan impak buruk terhadap sektor industri hiliran, Gabenor Texas, Greg Abbott telah mengisytiharkan status darurat bencana di negerinya pada Jumaat berikutan ancaman besar yang dibawa oleh wabak mutakhir ini.
“Penularan ini dijangka berisiko terus merebak secara meluas sepanjang musim panas ini,” jelas Abbott kepada pengamal media tempatan.
Ulat itu merupakan lalat parasit berbahaya yang mana membiak dengan cara bertelur di kawasan luka terbuka atau membran mukus haiwan berdarah panas serta manusia.
Sebaik sahaja menetas, ratusan larva akan mengorek dan memakan tisu daging hidup menggunakan struktur mulut yang tajam sehingga membawa maut kepada perumah sekiranya lambat dirawat.
Rabu lalu, pihak berkuasa AS mengesahkan kes pertama dalam tempoh 60 tahun dikesan di Texas. – BBC










