Media AS kritik Trump dipermainkan oleh Iran - Utusan Malaysia

Media AS kritik Trump dipermainkan oleh Iran

DONALD Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani mereka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Objektif sebelum perang ditinggalkan, kuasa Iran semakin kukuh dan puluhan bilion dolar dibelanjakan begitu sahaja, media Amerika Syarikat (AS) sebulat suara mengkritik konsesi yang diberikan oleh Presiden Donald Trump kepada Iran dalam perjanjian yang bertujuan menamatkan perang.

Trump menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Rabu semasa satu majlis makan malam diterangi cahaya lilin di luar Paris, dengan tujuan menamatkan perang yang telah melanda Asia Barat dan menggoncang ekonomi global.

Namun, kepulangan Trump ke AS pada Khamis dijangka mengembalikannya kepada realiti politik dengan gelombang kritikan dijangka datang daripada kedua-dua pihak yang menyokong dan menentang perang itu.

“Rumah Putih bersetuju dengan lanjutan gencatan senjata ini yang tidak memenuhi satu pun objektif sebelum perang dan memberikan konsesi kewangan yang sangat besar kepada Teheran,” kata rangkaian televisyen AS, MS NOW.

“Kini pentadbiran itu sedang berusaha keras untuk berhujah sebaliknya. Ringkasnya, Trump telah dipermainkan oleh Iran dan tiada siapa yang mempercayai penjelasan beliau,” tambahnya.

“Sebagai langkah pertama, Republik Islam Iran akan segera membuka semula Selat Hormuz dan Amerika akan serta-merta menarik balik sekatan lautnya,” kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di platform X. Pakistan bertindak sebagai pengantara perjanjian tersebut.

Berdasarkan teks perjanjian itu, Washington juga berjanji untuk menarik balik segera sekatan minyak yang telah melumpuhkan ekonomi Iran.

Perjanjian itu hanya  satu pengaturan sementara yang bertujuan memberi ruang kepada rundingan terperinci mengenai isu yang jauh lebih rumit, iaitu kawalan jangka panjang terhadap cita-cita nuklear Iran yang sejak sekian lama disyaki Washington mempunyai program rahsia untuk menghasilkan senjata nuklear.

Menurut akhbar The Wall Street Journal, perjanjian itu dilihat secara meluas sebagai pertaruhan dasar luar terbesar dalam penggal kedua presiden tersebut  selain menyatakan bahawa Trump akan berdepan tentangan daripada kelompok garis keras terhadap Iran yang berpendapat beliau memberi jauh lebih banyak daripada apa yang diperolehnya.

Malah, proses menandatangani perjanjian itu sendiri dilaporkan menjadi tidak teratur, apabila akhbar tersebut melaporkan Trump menandatangani semula perjanjian itu pada malam Rabu, mengejutkan beberapa pembantunya dan menjejaskan rancangan untuk satu majlis menandatangani rasmi pada minggu ini.

Saluran berita Fox News, yang lazimnya mesra Trump, memetik pengkritik yang berkata, perjanjian itu memberikan Iran manfaat kewangan yang besar tanpa mewajibkan pembongkaran program nuklearnya.

Menurut perjanjian itu, selepas satu perjanjian muktamad mengenai program nuklear Iran dicapai, AS akan memudahkan pelepasan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion (RM1.2 trilion) yang disokong oleh negara-negara serantau.

“Cadangan perjanjian Iran oleh Presiden Donald Trump menerima kritikan tajam daripada sebahagian penyokong terkuatnya, yang berhujah bahawa perjanjian itu memberi ganjaran kepada Teheran sebelum ia bersetuju untuk membongkar sepenuhnya program nuklearnya,” kata Fox News.

Saluran itu turut memetik penyiar Britain, Piers Morgan yang berkata, perjanjian itu sejauh mungkin daripada konsep penyerahan tanpa syarat berbanding mana-mana perjanjian lain dalam sejarah planet bumi. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN