BEIRUT: Kementerian Luar Lubnan memaklumkan pihaknya mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung dakwaan Israel menyembur racun rumpai jenis glyphosate di wilayah Lubnan berhampiran sempadan kedua-dua negara awal tahun ini.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan pada Ahad, kementerian itu berkata, surat aduan telah dihantar kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres minggu ini berhubung insiden yang berlaku pada Februari lalu, iaitu sebulan sebelum perang terbaharu antara Israel dan Hizbullah tercetus pada 2 Mac.
Menurut kementerian itu, ujian makmal dan analisis kimia yang dijalankan terhadap sampel tanah di perkampungan sempadan selatan Lubnan iaitu Aita al-Shaab, Ras Naqura dan Dhayra mengesahkan penggunaan glyphosate pada tahap kepekatan yang tinggi.
Katanya, paras bahan tersebut jauh melebihi kadar yang lazim ditemui di kawasan pertanian selepas penggunaan biasa oleh petani.
Kenyataan itu menyebut aduan berkenaan adalah berdasarkan laporan yang disediakan oleh Majlis Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Lubnan (CNRS), sebuah badan yang berkait dengan kerajaan.
Ketika insiden itu berlaku, pasukan pengaman PBB di Lubnan memaklumkan Israel memberi notis mengenai rancangan untuk menyembur bahan kimia tidak toksik berhampiran sempadan serta menasihatkan anggota pengaman supaya berlindung.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun ketika itu mengecam tindakan berkenaan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan serta satu jenayah terhadap alam sekitar dan kesihatan awam. – AFP










