PARIS: Lautan dunia menghadapi krisis yang semakin meruncing yang memerlukan tindakan global segera, menurut satu laporan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Isnin.
Laporan itu memberi amaran bahawa lautan kini semakin panas dan paras airnya meningkat pada kadar yang lebih pantas, litupan ais semakin mengecil, manakala ekosistem marin terus tertekan.
Laporan setebal 1,352 muka surat itu merupakan hasil kerja selama lima tahun yang melibatkan 600 saintis antarabangsa. Ia memperincikan kesan perubahan iklim, pencemaran dan penangkapan ikan berlebihan terhadap lautan yang meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi.
“Lautan adalah asas kepada kehidupan di bumi. Namun kesihatannya kini berada dalam risiko serius apabila ekosistem dan habitat menghampiri atau melepasi titik perubahan kritikal,” menurut Penilaian Lautan Dunia Ketiga PBB (WOA).
Lautan memainkan peranan penting dalam mengawal iklim dunia dan menjadi sumber makanan kepada berbilion manusia.
Namun, laporan itu memberi amaran tentang krisis yang semakin mendalam apabila perubahan iklim, pencemaran, penangkapan ikan berlebihan dan kehilangan biodiversiti memberikan tekanan yang teruk kepada sistem lautan.
Menurut laporan itu, penemuan berkenaan menuntut tindakan segera melalui kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh, cita-cita yang lebih tinggi serta keputusan yang berasaskan sains terbaik yang tersedia.
Lautan telah menyerap lebih 90 peratus haba berlebihan dan 30 peratus karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera akibat pembakaran bahan api fosil.
Apabila suhu air meningkat, air akan mengembang. Ia menyumbang kepada kenaikan paras laut bersama-sama air yang cair daripada glasier dan lapisan ais. – AFP










