KUALA LUMPUR: Malaysia mahu kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) distruktur semula sebagai usaha menyekat menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masyarakat antarabangsa tidak seharusnya terus terperangkap dalam mesyuarat dan perbincangan tanpa tindakan berkesan, sedangkan rakyat Palestin terus menjadi mangsa pembunuhan, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Katanya, usaha membawa resolusi bagi menghentikan keganasan melalui PBB berdepan kebuntuan apabila penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat dan sekutunya menghalang tindakan yang mahu diambil terhadap Israel.
“Apa gunanya 160 buah negara menyatakan sokongan, membuat resolusi bersama, tetapi akhirnya diveto oleh satu negara dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat dan sekutu Israel?
“Tetapi kuasa veto ini memang susah untuk ditamatkan ataupun dibuang. Tetapi kita perlu menyekat penggunaan sewenang-wenangnya kuasa veto ini terhadap jenayah antarabangsa, jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman (PN-Sik) yang meminta menteri menyatakan langkah strategik kerajaan susulan tiga tahun genosid di Gaza bagi memperkukuh perlindungan rakyat Palestin, akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban antarabangsa serta pembinaan semula Gaza termasuk mekanisme penyelarasan dan pelaporan kepada Parlimen bagi memastikan tindakan tersebut berkesan dan terukur.
Mohamad turut mempersoalkan tindakan Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak atas alasan mempertahankan diri, sambil menegaskan perbuatan itu tidak boleh diterima dan perlu dinilai berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Yang ramai mati majoriti yang 74,000 lebih setakat sekarang ialah kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Mengapa dia bunuh wanita? Kerana dia tak mahu wanita melahirkan zuriat. Kerana zuriat ini akan hidup dan akan menjadi sebagai orang yang menjadi musuh kepada Israel.
“Mengapa bunuh kanak-kanak? Kerana kalau mereka besar, mereka akan menjadi pengganas bagi pihak Israel. Bagi rejim Zionis Israel, rakyat Palestin ini bukan manusia. Dia adalah subhuman, jadi mereka ini perlu dibunuh kerana jika tidak, mereka kata mereka akan membunuh rakyat Israel.
“Tiada perkataan yang boleh dibayangkan keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap Palestin,” katanya.
Mengenai bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mohamad menjelaskan, Mesir bukan pihak yang menghalang kemasukan bekalan, sebaliknya tindakan Israel mengehadkan laluan dan jumlah trak bantuan menjadi antara halangan utama.
“Masalahnya bukannya Mesir, masalahnya Israel. Mesir sentiasa memberikan kerjasama dan mendesak supaya lebih banyak pintu masuk dibuka bagi membolehkan bantuan sampai kepada rakyat Palestin,” ujarnya.
Beliau berkata, Israel menetapkan had sebanyak 100 trak bantuan sehari, mengehadkan jumlah bekalan yang boleh memasuki Gaza, sedangkan keperluan kemanusiaan di wilayah itu masih mendesak.
Mohamad turut berkata, tekanan antarabangsa terhadap Israel perlu diteruskan, sambil menyatakan bahawa beberapa negara yang sebelum ini menyokong Israel kini semakin lantang mengkritik tindakannya, termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia.-UTUSAN











