WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berkata bahawa kapal-kapal akan melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan tol di bawah perjanjian damai dengan Iran yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump.
Washington turut menegaskan bahawa Teheran perlu memenuhi komitmennya sebelum menerima sebarang manfaat ekonomi.
Antara manfaat yang dibincangkan ialah kemungkinan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion (RM1.2 trilion) untuk negara yang terjejas akibat perang itu.
Namun, pelepasan dana tersebut akan bergantung kepada prestasi, kata seorang pegawai kanan pentadbiran Trump dalam panggilan bersama wartawan.
Trump, Naib Presiden AS, JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu secara elektronik pada Ahad, menurut pegawai terbabit.
“Presiden mahu menandatanganinya sendiri kerana beliau mahu menunjukkan komitmennya terhadap proses ini,” kata seorang pegawai AS yang enggan dikenali.
Bagaimanapun, Vance mengaku bahawa perjanjian ringkas itu menangguhkan isu-isu paling rumit terutamanya program nuklear Iran untuk dibincangkan kemudian.
“MoU ini hanya sekitar satu setengah halaman, jadi ia merupakan dokumen yang sangat umum,” kata Vance kepada CNN.
Beliau kemudian memberitahu NBC bahawa pemeriksa nuklear AS dan antarabangsa akan dibenarkan kembali ke Iran bagi membantu memusnahkan simpanan uranium diperkaya negara itu.
Vance akan mengetuai rundingan teknikal minggu ini dan menghadiri majlis menandatangani perjanjian secara fizikal yang dijangka berlangsung di Geneva, Switzerland.
Trump, yang menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis berkata, teks perjanjian itu berkemungkinan akan dikeluarkan selepas Jumaat, tetapi pegawai AS memaklumkan bahawa ia akan diterbitkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.
Pemeteraian perjanjian itu akan memulakan tempoh 60 hari di mana Teheran dan Washington akan berusaha memuktamadkan perjanjian damai sepenuhnya.
“Kami mahu meletakkan perbincangan mengenai nuklear sebagai keutamaan,” kata seorang pegawai AS dalam panggilan tersebut.
Namun, laluan sempit Selat Hormuz menjadi keutamaan segera berikutan kesan ekonomi global akibat kenaikan harga minyak.
Vance memberitahu CNBC bahawa terdapat persefahaman dengan Iran bahawa selat itu akan dibuka semula tanpa tol untuk jangka panjang dan ia merupakan perkara yang akan kami perincikan dalam rundingan teknikal itu.
Trump sendiri berkata, laluan strategik itu akan dibuka sepenuhnya mulai Jumaat, namun menambah bahawa operasi masih dijalankan bagi memastikan kawasan tersebut dibersihkan daripada periuk api. – AFP










