BEIRUT: Pegawai kanan tentera Lubnan antara lebih 12 individu yang terbunuh dalam serangan Israel di seluruh selatan Lubnan, beberapa hari selepas kedua-dua negara bersetuju dengan gencatan senjata bersyarat menerusi rundingan dimeterai Amerika Syarikat (AS).
Tentera Lubnan berkata, seorang brigedier jeneral, seorang kapten dan seorang askar terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah kenderaan tentera di jalan Khardali-Nabatieh.
Menurut wartawan Al Jazeera, Ali Hashem yang melaporkan dari Beirut, lebih 50 anggota tentera Lubnan terbunuh sejak konflik bermula pada 2 Mac namun ini kali pertama seorang jeneral berpangkat tinggi terbunuh.
Tentera Israel mendakwa serangan pada Sabtu itu berlaku di zon pertempuran aktif dan menambah pergerakan di zon pertempuran memerlukan penyelarasan dengan tentera Israel.
Ia turut mendakwa insiden itu masih dalam siasatan.
Tentera Lubnan berkata, pencerobohan berterusan Israel yang disengajakan berulang kali dan kejam bertujuan menggagalkan semua usaha untuk mencapai penyelesaian.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengutuk serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan dan undang-undang serta norma antarabangsa.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, menyifatkannya sebagai jenayah kejam dan serangan terhadap Lubnan serta seluruh rakyatnya.
Dalam satu kenyataan, Nawaf menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja Brigedier Jeneral Wassam Sabra, Kapten Elie Khoury dan askar Hussein Ghozal, selain kepada tentera Lubnan sendiri.
Tentera Lubnan berkata, Komandernya, Jeneral Rudolf Haykal, akan menuju ke Pakistan untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, Fil Marshal Asim Munir.
Gencatan senjata yang sepatutnya menamatkan pertempuran antara Israel dan Hezbollah bermula pada 17 April, namun tidak pernah dipatuhi sepenuhnya.
Menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 3,593 orang terbunuh manakala 10,990 lagi cedera dalam serangan Israel di seluruh negara itu sejak pertempuran bermula 2 Mac lalu. – AFP










