AS, UK dan Australia cipta teknologi dron bawah laut - Utusan Malaysia

AS, UK dan Australia cipta teknologi dron bawah laut

GAMBAR fail sebuah dron pengawasan mendarat menggunakan payung terjun di kawasan pesisir Laut Hitam di Lapang Sasar Capu Midia, Romania. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia mengumumkan komitmen untuk mencipta teknologi dron bawah laut.

Ia bertujuan  bagi melindungi kabel dasar laut dan memperkasakan pertahanan bersama di bawah pakatan ketenteraan yang dikenali sebagai AUKUS.

Teknologi kenderaan bawah air tanpa pemandu (UUV) itu dijangka siap menjelang tahun depan. 

Walaupun jumlah keseluruhan kos projek tidak dinyatakan, Setiausaha Pertahanan UK, John Healey berkata bahawa negaranya akan menyumbang sebanyak £150 juta (RM800 juta).

Pengumuman yang dibuat oleh menteri-menteri pertahanan ketiga-tiga negara di sidang kemuncak keselamatan di Singapura yang bermula 29 Mei dan berakhir semalam.

Ia diumumkan selepas timbulnya kritikan mengenai kemajuan projek AUKUS yang dikatakan agak perlahan.

“Sudah terlalu lama dalam AUKUS,.Kita lebih banyak bercakap daripada menghasilkan keputusan. Perkara itu kini telah berubah di bawah pentadbiran ketiga-tiga kerajaan kami,” kata Healey sambil mengaku tentang kritikan tersebut.

Pakatan pertahanan AUKUS yang ditubuhkan pada 2021 menegaskan komitmen ketiga-tiga negara untuk membangunkan kapal selam nuklear dan berkongsi kepakaran ketenteraan.

Langkah itu dilihat secara meluas sebagai usaha untuk mengekang pengaruh maritim China yang semakin meningkat di Indo-Pasifik, serta peranannya dalam ketegangan yang kian memuncak di wilayah yang dituntut seperti Laut China Selatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN