GRANADILLA DE ABONA: Operasi menghantar pulang penumpang kapal pesiaran yang terlibat dalam wabak maut hantavirus diteruskan pada Isnin, ketika pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Perancis turut mengesahkan warganegara mereka disahkan positif virus tersebut.
Tiga penumpang dari kapal MV Hondius, sepasang suami isteri dari Belanda dan seorang wanita Jerman meninggal dunia, manakala beberapa yang lain jatuh sakit akibat penyakit jarang berlaku itu yang biasanya disebarkan oleh tikus.
Tiada vaksin atau rawatan khusus untuk hantavirus selepas endemik di Argentina, lokasi kapal itu berlepas pada April lalu.
Namun pihak kesihatan menegaskan risiko terhadap kesihatan awam global adalah rendah dan menolak perbandingan dengan pandemik Covid-19.
Menurut Menteri Kesihatan Sepanyol, Monica Garcia di Tenerife, Kepulauan Canary, setakat ini, operasi pemindahan telah membawa keluar 94 orang daripada 19 kewarganegaraan berbeza.
Pihak berkuasa Sepanyol berkata, pemindahan hampir 150 penumpang dan kru kapal yang merangkumi 23 kewarganegaraan akan diteruskan sehingga penerbangan terakhir ke Australia dan Belanda pada petang Isnin.
Kapal itu dijangka mengisi minyak pada waktu pagi sebelum berlepas ke Belanda sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) dengan kira-kira 30 kru.
Penumpang yang memakai pakaian perlindungan perubatan berwarna biru mula meninggalkan kapal berbendera Belanda itu pada Ahad dan dibawa ke pelabuhan Granadilla di Tenerife, menurut wartawan AFP.
Mereka kemudian menaiki bas tentera Sepanyol menuju ke Lapangan Terbang Tenerife Selatan sebelum menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing.
Garcia berkata, semua penumpang pada awalnya tidak menunjukkan simptom dan telah menjalani pemeriksaan akhir sebelum dibenarkan turun kapal.
Namun, Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu memaklumkan seorang daripada lima rakyat Perancis yang diterbangkan pulang menunjukkan simptom hantavirus dan telah diletakkan dalam pengasingan ketat.
Pihak kesihatan AS pula berkata, seorang penumpang AS disahkan positif PCR tahap ringan manakala seorang lagi menunjukkan simptom ringan.
Australia pula akan menempatkan enam penumpang dalam kemudahan kuarantin khas di utara Perth selama sekurang-kurangnya tiga minggu.
Beberapa negara lain turut melaksanakan langkah kuarantin ketat, termasuk Greece, Sepanyol dan United Kingdom (UK), melibatkan hospital serta fasiliti tentera.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan kuarantin selama 42 hari serta pemantauan aktif harian terhadap simptom seperti demam.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang berada di Tenerife untuk menyelia operasi berkata, pendekatan semasa masih mempunyai risiko.
Kes ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa kerana jenis hantavirus yang dikenali sebagai virus Andes, satu-satunya yang boleh merebak antara manusia telah dikesan dalam kalangan pesakit.
WHO mengesahkan sekurang-kurangnya enam kes daripada lapan yang disyaki.
Kapal MV Hondius berlepas dari Ushuaia, Argentina pada 1 April untuk pelayaran ke Cape Verde, sebelum beberapa penumpang dijangkiti dan dipindahkan ke Eropah.
WHO percaya jangkitan pertama mungkin berlaku sebelum pelayaran bermula dan penularan berlaku di atas kapal.
Namun pihak kesihatan wilayah Argentina berkata, tiada kemungkinan mangsa pertama dijangkiti di Ushuaia berdasarkan tempoh inkubasi virus yang panjang.
Pihak berkuasa di beberapa negara kini sedang menjejak penumpang yang sudah turun dari kapal serta individu yang mungkin terdedah kepada jangkitan.-AFP










