Jualan borong, runcit Mac melonjak RM169 bilion

Jualan borong, runcit Mac melonjak RM169 bilion dirangsang musim perayaan

BAGI subsektor perdagangan runcit, pertumbuhan stabil 8.1 peratus direkodkan pada Mac 2026 bagi jualan di kedai bukan pengkhususan seperti pasar raya, pasar mini dan gedung serbaneka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila nilai jualan melonjak 9.8 peratus kepada RM169.0 bilion pada Mac 2026, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh sempena musim perayaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong yang mencatatkan jualan RM78.4 bilion serta perdagangan runcit sebanyak RM72.0 bilion.

Katanya, prestasi perdagangan borong dipacu oleh lonjakan 32.0 peratus dalam pengkhususan jualan borong lain, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan jualan petrol, diesel dan pelincir susulan kenaikan harga minyak mentah global.

“Bagi subsektor perdagangan runcit, pertumbuhan stabil 8.1 peratus direkodkan bagi jualan di kedai bukan pengkhususan seperti pasar raya, pasar mini dan gedung serbaneka.

“Jualan runcit bahan api kenderaan turut meningkat 10.6 peratus, didorong oleh aktiviti perjalanan orang ramai sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor mengalami penyusutan sebanyak RM0.6 bilion kepada RM18.6 bilion, ekoran penguncupan 12.5 peratus dalam jualan kenderaan bermotor yang selari dengan data pendaftaran kenderaan nasional.

Menurut Mohd. Uzir, aktiviti pembayaran digital di negara ini turut mengukuh yang menyaksikan transaksi e-money melonjak 64.3 peratus kepada RM33.3 bilion.

“Segmen e-dagang juga kekal kompetitif dengan indeks jualan runcit dalam talian meningkat 6.4 peratus, manakala platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) merekodkan transaksi berjumlah RM369.4 bilion,” katanya.

Secara keseluruhan, indeks volum perdagangan borong dan runcit bagi bulan tersebut merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 4.4 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN