JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan melibatkan insiden seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera ditembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai, di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 26 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini.
“Salah seorang daripada suspek ditahan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau. Setakat ini kita juga masih tidak dapat mengesahkan sama ada kejadian itu melibatkan kongsi gelap atau tidak.
“Polis masih jalankan siasatan, perkembangan baharu kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Chuan Huat, semakan pihaknya mendapati mangsa yang maut ditembak bekerja di Singapura dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Mangsa masih bujang, manakala seorang lagi mangsa yang cedera adalah kenalannya,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun maut selepas ditembak dalam satu kejadian kira-kira pukul 11 malam, kelmarin.









