SYDNEY: Seorang wanita Australia dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun selepas memalsukan diagnosis kanser anak lelakinya berusia enam tahun bagi mendapatkan sumbangan dan membiayai gaya hidup mewahnya.
Wanita berusia 45 tahun dari Australia Selatan itu mencukur rambut serta kening anaknya, membalut kepala dan tangannya, serta memberikan ubat-ubatan sebagai sebahagian daripada helah untuk menipu keluarga serta rakan agar memberikan sumbangan wang.
Wanita itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan yang berkemungkinan mencederakan anaknya dan 10 pertuduhan penipuan.
Dalam perbicaraan hukuman pada Rabu, hakim Mahkamah Daerah menyifatkan tindakannya sebagai ‘kejam, terancang dan manipulatif’.
Penipuan itu bermula selepas anaknya menjalani pemeriksaan dengan pakar mata akibat satu kemalangan. Selepas temu janji itu, dia memberitahu suami, keluarga, rakan dan komuniti sekolah kononnya anaknya itu menghidap kanser mata.
Dia turut memaksa anaknya menggunakan kerusi roda dan mengehadkan aktiviti hariannya bagi meyakinkan orang ramai kanak-kanak itu sedang menjalani rawatan radioterapi. Dia juga memberikan ubat tahan sakit dan suplemen kesihatan, menurut laporan media tempatan.
Pihak pendakwaan berkata, wanita itu secara mementingkan diri, menggunakan anaknya sebagai alat untuk menipu orang tersayang dan masyarakat, sebelum menggunakan sumbangan tersebut untuk hidup seperti golongan kaya dan terkenal.
Peguam wanita itu berkata, dia mengalami ketagihan judi selepas pandemik Covid-19 dan mengambil kesempatan terhadap kemalangan anaknya, namun tidak berniat untuk mencederakan anak atau keluarganya.
Dia juga didiagnosis dengan gangguan personaliti dan mengakui kesalahannya. Suaminya pada awalnya turut didakwa, namun pertuduhan tersebut kemudian digugurkan.
Wanita itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun tiga bulan dan akan layak untuk parol pada April tahun hadapan.-AGENSI










